Peniaga air mengaku tak salah belasah bapa minta RM10

Peniaga air mengaku tak salah belasah bapa minta RM10

Media sebelum ini melaporkan tertuduh tergamak memukul bapanya dengan sebatang kayu hanya kerana warga emas itu meminta RM10 untuk membeli sarapan.

Tertuduh, Mat Khairi Mohammad, 34 dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang peniaga air dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap bapanya yang meminta wang RM10 di rumah mereka di Kampung Dusun Durian, Bachok.

Tertuduh, Mat Khairi Mohammad, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap bapanya, Mohammad Zakaria, 62, kira-kira 10 pagi, 17 Okt lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam, menurut laporan Kosmo.

Terdahulu, Abu Arsalnaa tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana mangsa dalam kes itu adalah ahli keluarganya.

Media sebelum ini melaporkan, tertuduh tergamak memukul bapanya dengan sebatang kayu hanya kerana warga emas itu meminta RM10 untuk membeli sarapan.

Kejadian itu menyebabkan mangsa terpaksa menerima sembilan jahitan di kepala selain pergelangan tangan kanannya patah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.