Laporan audit: Kementerian Pertahanan gagal kutip RM10.3 juta hasil sewa

Laporan audit: Kementerian Pertahanan gagal kutip RM10.3 juta hasil sewa

Menurut LKAN 2020, Perwira Niaga Malaysia yang menduduki 139 premis MINDEF bagi menjalankan perniagaan peruncitan dalam kem tentera gagal membayar RM1.31 juta hasil sewa.

Laporan dikeluarkan hari ini memaklumkan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) gagal membayar RM1.31 juta hasil sewa setelah tempoh pajakan premis tamat 31 Mei 2014. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Pengurusan hasil sewa tanah dan bangunan yang lemah dikenal pasti sebagai punca RM10.3 juta hasil sewa gagal dikutip Kementerian Pertahanan (MINDEF), menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2020.

Laporan yang dikeluarkan hari ini memaklumkan Perwira Niaga Malaysia (PERNAMA) yang menduduki 139 premis MINDEF bagi menjalankan perniagaan peruncitan di dalam kem tentera gagal membayar RM1.31 juta hasil sewa mereka setelah tempoh pajakan premis tamat pada 31 Mei 2014.

“Pengiraan hasil sewa itu dibuat dari 1 Jun 2014 hingga 31 Dis 2017 berdasarkan tuntutan bayaran pajakan oleh MINDEF kepada PERNAMA bertarikh 20 Dis 2000.

“Selain itu, pihak audit turut mendapatkan penilaian sewa daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi pengiraan hasil sewa 2018 hingga 2020 membabitkan PERNAMA yang berjumlah RM8.99 juta.”

Laporan itu memaklumkan perjanjian pajakan ditandatangani PERNAMA dengan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) pada 5 Mei 2010 bagi 139 premis di tanah kegunaan MINDEF seluruh Malaysia adalah bagi tempoh 15 tahun bermula 1 Jun 1999 hingga 31 Mei 2014.

Laporan itu mengesyorkan usul dengan pihak PTP dibuat bagi mendapatkan kelulusan sewa tanah dan bangunan kegunaan MINDEF untuk membolehkan proses penyediaan perjanjian sewa semua premis diduduki PERNAMA disegerakan.

Laporan itu turut membangkitkan RM178,658 hasil sewa 36 lot kedai di pangkalan tentera udara bagi 2019 dan 2020 tidak dikreditkan sebagai hasil kerajaan, sebaliknya dimasukkan ke Tabung Kebajikan Unit Tentera Udara.

“Perkara itu berlaku disebabkan pengurusan pangkalan udara menggunakan surat Kementerian Kewangan bertarikh 8 Jun 1985 sebagai asas mengkreditkan sewa bagi 36 lot kedai berkenaan ke Tabung Kebajikan Unit.”

Menurut laporan itu, tindakan tersebut bercanggah Perenggan 2 Surat Kementerian Kewangan bertarikh 8 Jun 1985 yang memberi persetujuan hasil dikutip daripada pengusaha kantin angkatan tentera diluluskan bagi bayaran rebat kantin angkatan tentera sahaja.

Justeru, laporan mengesyorkan Bahagian Pembangunan MINDEF membuat pemantauan terhadap semua perjanjian sewaan diuruskan Markas Pemerintahan Perkhidmatan bagi memastikan semua kutipan sewaan yang sepatutnya diakaunkan sebagai hasil kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.