BN akur didenda RM10,000 langgar SOP lancar jentera PRN Melaka

BN akur didenda RM10,000 langgar SOP lancar jentera PRN Melaka

Setiausaha Agung BN berkata, kehadiran jemputan dalam majlis pelancaran di Dewan Tun Hussein dan Tun Ismail WTCKL semalam mengambil kira panduan SOP berkaitan kapasiti.

Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi melancarkan jentera PRN Melaka di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur semalam yang turut dihadiri pemimpin tertinggi Umno dan parti komponen BN. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) akur dan akan membayar kompaun RM10,000 kerana melanggar SOP menganjurkan acara sosial, dengan mengadakan pelancaran jentera pilihan raya negeri (PRN) Melaka di ibu negara semalam.

Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata, majlis pelancaran jentera BN itu dipindahkan dari Melaka ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) kerana ibu kota kini di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan perhimpunan diadakan dengan kapasiti 50% daripada keluasan dewan acara.

Katanya, kehadiran jemputan dalam majlis pelancaran di Dewan Tun Hussein dan Tun Ismail WTCKL semalam telah mengambil kira panduan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan kapasiti.

“Namun, pergerakan di luar dewan yang ramai adalah di luar bidang kawalan pihak penganjur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Sebagai parti yang berpegang dan patuh kepada prinsip undang-undang, maka BN akan membayar kompaun yang dikenakan.”

Selain Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi yang melancarkan jentera PRN Melaka, turut hadir ialah Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Najib Razak, Presiden PBRS, Joseph Kurup, Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon dan Ketua Umno Melaka, Ab Rauf Yusoh.

BN adalah parti kedua dikompaun selepas MUDA didenda RM4,000 kerana tidak mematuhi arahan polis tidak meneruskan sidang media di Melaka petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.