Usul jual aset Petronas di Azerbaijan dirunding di kamar khas, kata Azhar

Usul jual aset Petronas di Azerbaijan dirunding di kamar khas, kata Azhar

Speaker Dewan Rakyat berkata, usul itu menepati tiga syarat untuk dibahaskan, iaitu merupakan perkara tertentu, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

Anwar Ibrahim berkata, usul penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan sepatutnya segera dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum pembentangan Belanjawan 2022 pada Jumaat ini, bukannya di kamar khas.
KUALA LUMPUR:
Speaker Dewan Rakyat, Azhar Harun membenarkan usul yang dibawakan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengenai isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan dirunding di kamar khas hari ini.

Ini kerana, katanya, usul berkenaan menepati tiga syarat untuk dibahaskan, iaitu merupakan perkara tertentu, kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan.

“Saya telah menerima usul Anwar pada Isnin lalu.

“Saya berpuas hati dan usul itu mematuhi tiga syarat itu. Saya benarkan usul ini dirundingkan di kamar khas pada 2.30 petang ini,” katanya di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Anwar sekali lagi meminta usul berhubung isu penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan itu dibahaskan kerana ia adalah isu penting dan membawa kesan kepada ekonomi serta pendapatan negara.

Beliau membaca usul itu menerusi surat yang diutuskan kepada Azhar pada Isnin lalu.

Usul itu dikemukakan di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Anwar berkata, isu itu adalah perkara tertentu kerana penjualan aset gas di Azerbaijan itu bernilai hampir RM10 bilion dan pembayaran dividen RM25 bilion untuk 2021 kepada kerajaan adalah berbahaya serta menjejaskan masa depan Petronas.

Walaupun berterima kasih usul itu diterima, tetapi Anwar berkata, usul itu sepatutnya segera dibahaskan di Dewan Rakyat sebelum pembentangan Belanjawan 2022 pada Jumaat ini.

Azhar berkata, keputusan membawa usul itu ke kamar khas kerana terdapat dua rang undang-undang penting yang perlu dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini.

“Maka, seperti amalan biasa, ia diluluskan di kamar khas. Sama sahaja prosiding kamar khas kerana boleh dilihat orang ramai dan dirakam. Tidak ada perbezaan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.