
Ketua Polis Daerah Kuantan, Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ia berdasarkan siasatan di lokasi kejadian, yang turut menemukan senapang dipercayai digunakan Mohamad Omar, 67.
“Kami telah mengambil keterangan empat saksi, termasuk isteri dan rakan baik lelaki tersebut yang membawanya ke Klinik Kesihatan Bukit Goh untuk rawatan.
“Siasatan kini menjurus kepada asal senapang tersebut, sama ada Mohamad membuatnya sendiri atau dibeli,” katanya semasa dihubungi hari ini.
Beliau berkata, polis akan mengklasifikasi semula kes itu, jika terdapat perkembangan dan bukti baharu.
Semalam, Mohamad disahkan meninggal dunia pada 4.20 petang di klinik kesihatan berkenaan, selepas dibawa ke sana dengan kesan tembakan di dada dan cedera di tapak tangan kanan.
Peneroka Felda Bukit Sagu itu dikatakan keluar mengait kelapa sawit di ladang sekitar 10 pagi dan menghubungi isterinya pada 3.36 petang memaklumkan dirinya ditembak.
Wanita itu menghubungi rakan baik suaminya untuk meminta pertolongan mencari Mohamad, sebelum mereka menemuinya dalam keadaan kritikal di ladang tersebut.