
Dalam ucapan sempena “Malaysia Climate Action Week”, Pengerusi Ipmuda Bhd, Beroz Mirdin berkata, dalam usaha negara ini mencapai neutraliti karbon, adalah penting untuk semua pemain industri mempunyai akses lebih terbuka kepada sektor itu.
“Di Malaysia, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli serta Suruhanjaya Tenaga mengawal selia industri itu. Jadi, akses terbuka perlu bermula di peringkat dasar.
“Akses terbuka berkait rapat dengan liberalisasi sektor tenaga elektrik, iaitu memberikan lebih banyak kebebasan kepada pengeluar tenaga, selain kebolehcapaian lebih tinggi terhadap grid kebangsaan.”
Keterbukaan industri itu juga mampu meningkatkan penjanaan elektrik sendiri oleh pengguna dan masyarakat, tanpa memerlukan campur tangan kerajaan.
Beliau memberi contoh syarikat yang membolehkan kediaman berkuasa bateri berkongsi tenaga bersama jirannya. Katanya, ini dapat mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kebebasan tenaga.
“Akses terbuka memberikan peluang untuk kolaborasi awam-swasta, seterusnya meningkatkan infrastruktur tenaga sedia ada,” katanya.
Menurutnya, ini akan meringankan beban pengeluar tenaga di negara ini, selain memanfaatkan pengendali serta pengguna untuk jangka panjang.
Dalam sesi berasingan ketika persidangan selama seminggu itu, Pengerusi Bukan Eksekutif Bursa, Abdul Wahid Omar berkata, mereka yang gagal menyesuaikan diri akan ketinggalan.
“Jika tidak mampan, anda tidak boleh menjadi sebahagian daripada mana-mana rangkaian bekalan global. Ini kerana setiap pemain akan menuntut kelestarian dalam pendekatan mereka,” katanya.
Memandangkan bank dan syarikat insurans utama menandatangani prinsipal PBB bagi operasi mampan, mereka yang gagal mencapai standard berkenaan juga akan sukar mendapatkan pembiayaan bagi projek atau penaja jamin.
“Mereka akan berdepan kesukaran mendapatkan modal insan diperlukan bagi memacu perniagaan dan menjual produk mereka kerana pengguna kini lebih arif dalam membuat penilaian, dan hanya akan membeli barangan yang dihasilkan secara mampan.”
Berhubung apa yang boleh dilakukan syarikat pada masa akan datang, Beroz berkata, penekanan perlu diberikan terhadap tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan.
Beliau memberi contoh peralihan syarikatnya sendiri daripada pembekalan bahan binaan ke arah tenaga seperti itu, kerana memandang lebih jauh ke hadapan.
“Ipmuda akan meneliti penyelesaian yang saling melengkapi untuk menggunakan kelebihan tenaga hijau kami demi memastikan impak positif terhadap keperluan tenaga dunia.
“Kami kekal di sempadan trend tenaga baharu, selain meneroka kemungkinan untuk bekerjasama dengan syarikat asing yang mempunyai kepakaran teknikal diperlukan untuk penggunaan tenaga hijau kami bagi tujuan berfaedah.”