Kenapa PH mahu jalin kerjasama dwipartisan dengan GRS, soal Warisan

Kenapa PH mahu jalin kerjasama dwipartisan dengan GRS, soal Warisan

Cadangan PH itu dilihat sesuatu yang menghairankan kerana ia sudah dimeterai melalui memorandum persefahaman bersama kerajaan persekutuan.

Ketua Penerangan Warisan Awang Ahmad Sah Sahari berkata, senario politik di Sabah tidak sama dengan Semenanjung. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU:
Ketua Penerangan Warisan Awang Ahmad Sah Sahari mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang mahu menjalin kerjasama dwipartisan dengan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Katanya, cadangan PH itu dilihat sebagai sesuatu yang menghairankan kerana ia sudah dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan persekutuan.

“Lagi pun, antara ahli GRS adalah parti Umno, Bersatu dan PAS yang terpaksa patuh kepada kemahuan pemimpin mereka di peringkat persekutuan. Seperkara lagi, tiada negeri lain di Malaysia yang telah menandatangani MoU sedemikian dengan PH.

“Senario politik di Sabah tidak sama dengan Semenanjung. Masalah dan isu yang membelenggu rakyat di Sabah berlainan dengan apa yang berlaku di Semenanjung,” katanya dalam kenyataan.

Awang Ahmad Sah Sahari.

Ahmad turut bersetuju dengan kenyataan Presiden SAPP Yong Teck Lee baru-baru ini yang mengatakan kerjasama dwipartisan antara GRS dan PH Sabah tiada makna tanpa penglibatan Warisan.

Yong berkata, semua pihak perlu menerima hakikat bahawa parti pembangkang utama di Sabah adalah Warisan, bukannya PH malah hanya ada satu parti tempatan dalam PH, iaitu UPKO.

Terdahulu PH Sabah berkata, semangat dwipartisan seperti dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan boleh dipanjangkan ke peringkat kerajaan negeri ini.

Dalam kenyataan bersama baru-baru ini gabungan berkenaan berkata, pelaksanaan kerjasama itu membolehkan semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang fokus bagi memulih serta membangunkan semula Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.