
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, fokus utama kementerian ketika ini adalah meningkatkan kebolehan setiap agensi untuk mengukuhkan pendapatan melalui strategi pasaran lebih efektif.
“Kementerian ini adalah kementerian yang kecil tetapi ia diletakkan 12 agensi untuk dijaga. Oleh kerana kebanyakan aktiviti atau kerja-kerja bawah kementerian adalah berorientasikan perniagaan jadi mereka harus menumpukan bagaimana untuk menambah pendapatan melalui strategi pelaburan lebih efektif dan ia secara tersendirinya mampu menampung aktiviti agensi-agensi.
“Jadi di peringkat kementerian memang tidak perlu untuk dapatkan dana yang banyak daripada kerajaan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Keluarga Malaysia: Minggu Agrikomoditi 2021 (MyKomoditi 2021).
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, KPPK mengunjurkan nilai eksport bagi sektor agrikomoditi sebanyak RM204 bilion menjelang akhir tahun ini berdasarkan rekod yang dicapai sehingga Ogos, iaitu RM137.4 bilion.
“Purata RM137 bilon bagi setiap bulan adalah RM17 bilion jadi baki kita yakin boleh capai RM204 bilion pada akhir tahun ini,” katanya.
Untuk rekod, sektor agrikomoditi menjana pendapatan eksport sebanyak RM152 bilion pada 2020.
Mengenai kemasukan pekerja warga asing bagi sektor perladangan, beliau berkata, kumpulan pertama pekerja warga asing dari Indonesia dijangka tiba pada pertengahan November, khusus untuk bahagian penuaian sawit.
“Kita anggarkan 32,000 pekerja asing diperlukan bagi sektor perladangan sawit khususnya untuk penuaian…ia tak termasuk pekerja-pekerja (bahagian) lain kerana kita rasa yang lain kita mampu dapat pekerja tempatan
“Fokus kementerian adalah untuk penuaian sawit kerana kita nak kejar 40% hasil (sawit) menjelang akhir tahun ini,” katanya.