MoU di Sabah hanya berjaya jika Warisan dilibatkan, kata penganalisis

MoU di Sabah hanya berjaya jika Warisan dilibatkan, kata penganalisis

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Warisan merupakan parti dominan dan tidak boleh dipinggirkan dalam konteks politik Sabah.

MoU dwipartisan perlu menguntungkan semua pihak baik PH, GRS dan BN, kata penganalisis politik.
KOTA KINABALU:
Penganalisis politik berpendapat hasrat Pakatan Harapan (PH) Sabah untuk menjalin kerjasama dwipartisan hanya akan berjaya jika parti Warisan dilibatkan.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, Warisan yang dipimpin Shafie Apdal merupakan parti dominan dan tidak boleh dipinggirkan dalam konteks politik Sabah kerana parti itu dilihat mampu menggugat kedudukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Cadangan ini akan berjaya jika melibatkan semua parti pembangkang termasuk Warisan, yang perlu dibawa dalam konteks Sabah kerana apabila warisan tidak sertai (memorandum persefahaman) di peringkat persekutuan, ia ternyata tidak menguntungkan kerana ada wakil rakyatnya yang keluar parti.

“MoU (memorandum persefahaman) dwipartisan perlu menguntungkan semua pihak baik PH, GRS, BN (Barisan Nasional) misalnya, semua DUN dapat peruntukan yang sama dengan wakil rakyat kerajaan supaya semua rakyat Sabah dapat menikmati pembangunan tanpa diskriminasi,” katanya kepada FMT.

Sementara, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara berkata, MoU antara PH Sabah dan GRS kemungkinan bakal menguntungkan PH yang akan dilihat lebih bersifat terbuka dan pragmatik seterusnya memberi kesan kepada imej mereka.

Beliau tidak menolak kemungkinan Warisan akan sekali lagi mengetepikan MoU berkenaan seperti mana yang dilakukan mereka di peringkat persekutuan sebelum ini.

“Mereka (Warisan) mungkin mengambil langkah sama seperti di peringkat persekutuan sebelum ini dan ini akan memberi mereka ruang sepenuhnya untuk terus memainkan peranan sebagai pengimbang tara atau ‘check and balance’,” katanya.

Bagaimanapun Tony berpendapat, persoalan sama ada MoU berkenaan akan berjaya atau tidak masih belum terjawab kerana cadangan itu baharu disuarakan PH Sabah dan belum ada kata putus daripada GRS sama ada bersetuju atau sebaliknya.

Dalam pada itu, Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah percaya GRS akan mempertimbangkan hasrat PH Sabah itu walaupun sehingga kini belum ada perbincangan rasmi dilakukan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun katanya, perlu dipastikan terlebih dahulu sama ada hasrat yang dimulakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng itu adalah atas kapasiti individu atau mewakili keseluruhan PH.

Terdahulu, PH Sabah berkata, semangat dwipartisan seperti yang dimulakan di peringkat kerajaan persekutuan boleh dipanjangkan ke peringkat kerajaan negeri ini.

Dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini, gabungan berkenaan berkata, pelaksanaan kerjasama itu membolehkan semua pihak sama ada kerajaan atau pembangkang fokus bagi memulih serta membangunkan semula Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.