
Katanya, beliau mahu menggalakkan mangsa-mangsa untuk bersuara, “dengan harapan dapat menggalakkan (mereka menjadi) berani ketika saya tidak”.
“Saya berkongsi pengalaman ‘kurang menyenangkan’ saya untuk memberi kesedaran kepada orang ramai, dan sokongan kepada mangsa di luar sana, yang sentiasa dalam dilema sama ada untuk bersuara atau berdiam diri,” katanya dalam ciapan di Twitter malam tadi.
“Paling penting, pemboleh dan penyokong (kelakuan) mereka tidak sepatutnya ‘dipopularkan’. Orang lain mungkin lupa, tetapi bukan mangsa,” katanya.
Beliau menghantar ciapan ini hanya beberapa jam selepas Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan tindakannya membangkitkan dakwaan gangguan seksual oleh bekas jurulatihnya sekarang kerana, katanya, insiden itu “sudah lama berlaku”.
“Saya hanya nak faham keseluruhan senario, kenapa tiba-tiba, setelah sekian lama, Lela (Pandelela) keluar kenyataan melalui sosial media beliau?” soalnya.
Baru-baru ini, Pandelela mendakwa di Twitter bahawa beliau terpaksa menahan lawak lucah daripada salah seorang jurulatihnya selama tujuh tahun.
Beliau memutuskan untuk mendedahkan perkara itu kepada umum selepas kisah seorang pelakon yang mengagungkan adegan rogol yang tidak disiarkan di stesen TV menjadi tular.
Dalam memperincikan pengalamannya, Pandelela berkata, beliau menegur kelakuan jurulatih itu, namun dibalas dengan bulian.
Jurulatih terbabit, katanya, kemudian didakwa atas tuduhan merogol seorang atlet lain.
“Kami atlet tak boleh buat apa sebab ‘backup’ besar dia adalah ketua jurulatih kami sendiri,” kata Pandelela dalam ciapannya sebelum ini.
Beliau berpandangan dalam arena sukan, ketua yang baik, seseorang yang boleh memperbetulkan kesalahan bukan menutup kejahilan, sangat diperlukan.
“Dan kepada yang menjadi mangsa, bersuaralah! Suara-suara kecil masih bermakna jika kita bersatu,” katanya.
Faizal menggesa semua pihak, terutamanya atlet negara, segera melaporkan sebarang bentuk gangguan seksual kepada pihak berkuasa atau ibu bapa mereka.
“Jangan berdiam diri kerana ini adalah satu kesalahan jenayah yang kita kena sama-sama perangi,” katanya.
Tambahnya, beliau akan menghubungi Khairy Jamaluddin, yang mengetuai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ketika kes berkenaan didakwa berlaku, malah telah berjumpa dengan beberapa atlet negara bagi memahami situasi sebenar.