Kanak-kanak Malaysia 3 hingga 11 tahun sertai ujian vaksin Sinovac

Kanak-kanak Malaysia 3 hingga 11 tahun sertai ujian vaksin Sinovac

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kajian klinikal itu akan dijalankan di 10 lokasi tidak lama lagi.

Khairy Jamaluddin berkata, kerajaan sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
PETALING JAYA:
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, Malaysia dipilih antara lokasi ujian klinikal vaksin Covid-19 Sinovac untuk kanak-kanak.

Katanya, kajian klinikal Fasa 3 itu akan bermula akhir bulan ini di 10 lokasi, meliputi lapan kemudahan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Universiti Malaya dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Seorang jurucakap KKM memberitahu FMT, ujian itu akan dijalankan ke atas kanak-kanak berusia tiga hingga 11 tahun.

Khairy berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen kepada soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) sama ada KKM sudah meneliti kesesuaian serta keberkesanan vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah serta sama ada ia sudah mendapatkan maklumat berkaitan daripada pengeluar vaksin.

Katanya, KKM akan berbincang dengan pengeluar vaksin untuk mendapatkan maklumat berhubung keberkesanan dan keselamatan vaksin bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.

“Walaupun belum menerima data yang diperlukan daripada syarikat pengeluar vaksin Covid-19 setakat ini, Jawatankuasa Pemilihan Calon vaksin (JKPCV) dan KKM sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas populasi tersebut berdasarkan bukti saintifik melalui kajian klinikal atau ‘real world data’,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kajian klinikal sedang dan telah dijalankan mengenainya.

Antaranya Pfizer-BioNTech pada 20 Sept lalu mengeluarkan dapatan kajian klinikal Fasa 3 untuk kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dengan vaksin itu didapati selamat, ditoleransi dengan baik dan menunjukkan tindak balas antibodi peneutralan yang kuat.

Khairy berkata, data kajian klinikal itu sudah dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta Agensi Perubatan Eropah (EMA).

Katanya, China sudah meluluskan dua vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh Sinovac Biotech Ltd dan Sinopharm untuk penggunaan kecemasan bagi individu berusia tiga hingga 17 tahun, dengan kajian klinikal Fasa 1 dan 2 mendapati vaksin itu selamat serta mampu merangsang tindak balas imun yang kuat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

Jumaat lalu, Khairy dilaporkan berkata, Malaysia dipuji kerana kadar vaksinasi remajanya antara yang terpantas di dunia, selepas 80% remaja berusia 12 hingga 17 tahun diberikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 minggu lalu.

Beliau berkata, pencapaian itu dicatatkan kurang dua bulan sejak pelancaran vaksinasi untuk remaja bermula 8 Sept.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.