
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Jeffrey Kitingan dalam kenyataan berkata, Setiausaha Agung partinya yang berusia 67 tahun itu meninggal dunia pada 4.45 petang tadi.
Guan Dee menghidap Covid-19 dan menjalani kuarantin kendiri. Beliau dimasukkan ke hospital 5 pagi tadi selepas mengadu sakit dada.
Beliau berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat Perikatan Nasional Ahad lalu, tetapi tidak dapat hadir selepas disahkan positif Covid-19.
Kitingan berkata, beliau sedih dengan berita itu dan partinya kehilangan pejuang serta ahli paling berharga.
“Beliau ialah rakan baik dan sekutu paling setia saya. Beliau bersama saya melalui segalanya. Malah ketika saya tiada apa-apa, beliau tidak pernah tinggalkan saya. Sangat sukar untuk menggantikannya.”
Katanya, kali terakhir beliau bercakap dengan Guan Dee ialah 10 pagi tadi apabila beliau menelefonnya dari hospital.
“Beliau beritahu saya, beliau baik-baik sahaja dan tidak perlu risau. Saya yakin beliau boleh keluar hospital dalam tiga, empat hari. Ia benar-benar menyedihkan.”
Menurut setiausaha Kitingan, ahli keluarga Guan Dee, kecuali isterinya yang turut disahkan positif Covid-19, sudah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Guan Dee dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Beliau mengangkat sumpah sebagai senator pada Disember tahun lalu dan merupakan Setiausaha Agung STAR sejak Julai 2016.