Siasatan, kes mahkamah berkait berita palsu tak dihenti, kata Annuar

Siasatan, kes mahkamah berkait berita palsu tak dihenti, kata Annuar

Bagaimanapun kes yang dalam semakan terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan atau sebaliknya.

Siasatan dan kes mahkamah berhubung penularan berita palsu ketika Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 dikuatkuasakan akan diteruskan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Semua siasatan dan kes mahkamah berhubung penularan berita palsu yang berlaku ketika Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 dikuatkuasakan akan diteruskan, walaupun ordinan berkenaan sudah diungkai.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, bagaimanapun memaklumkan bagi kes yang dalam semakan ia terpulang kepada Jabatan Peguam Negara untuk meneruskan pendakwaan atau sebaliknya.

Katanya,sepanjang ordinan itu berkuat kuasa, tidak ada kompaun dikenakan bagi kesalahan penularan berita palsu kerana tiada sebarang peruntukan yang membenarkan hukuman berkenaan diambil, namun ada kes dibawa ke mahkamah dengan mengenakan denda dalam jumlah yang tidak begitu besar.

“Sejak Ordinan Darurat itu berkuat kuasa dari 21 Mac hingga 21 Oktober lalu, sebanyak 30 kertas siasatan dibuka. Daripada jumlah itu, 26 kes selesai yang terdiri daripada 12 kes dituduh dan 14 kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Sebanyak empat kes masih dalam siasatan, yang mana satu kes dalam siasatan lanjut oleh pihak polis dan tiga kes dalam kajian Jabatan Peguam Negara dan Pengarah Pendakwaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat ketika menjawab perbahasan usul Ahli Parlimen bagi mengungkai tujuh Ordinan Darurat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.