Larangan kempen: Peja khuatir calon PRN Melaka guna majlis sosial dekati pengundi

Larangan kempen: Peja khuatir calon PRN Melaka guna majlis sosial dekati pengundi

Bersatu akan menggunakan semua saluran termasuk media sosial untuk mengetengahkan manifesto dan calon, kata Naib Presidennya, Ahmad Faizal Azumu.

Ahmad Faizal Azumu ketika ditemui pada majlis pelancaran Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 berkata, Bersatu akan akur dan patuh terhadap semua SOP yang ditetapkan oleh KKM mengenai larangan berkempen menjelang PRN Melaka.
BANGI:
Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu khuatir parti politik terutamanya calon dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka akan menggunakan majlis sosial untuk mendekati pengundi sekiranya sebarang larangan aktiviti dan perhimpunan terus dikuatkuasakan sepanjang tempoh berkempen.

Ini kerana katanya, pelbagai pihak mempertikaikan sekatan berkenaan dengan alasan Melaka sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Hari ini saya dengar kalau kerajaan tak benarkan parti politik mengadakan perhimpunan dan sua muka, di majlis seperti majlis perkahwinan, hari jadi akan dijadikan oleh parti politik untuk digunakan bersua muka.

“Saya bimbang kerana akhirnya apa pun yang KKM (Kementerian Kesihatan) melalui pakar kesihatan cadangkan tidak diikuti kerana kita menggunakan ruang yang ada dalam SOP itu untuk kepentingan kita dan akhirnya akan merugikan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021 di sini.

Bagaimanapun, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan menggesa semua parti politik terutamanya calon meletakkan kepentingan dan keselamatan rakyat sebagai keutamaan ketika berkempen.

“Saya gesa kepada semua ahli politik dan parti politik supaya meletakkan kepentingan dan keselamatan kesihatan rakyat sebagai keutamaan yang paling tinggi kerana tidak ada gunanya kita berjaya dalam PRN tetapi dijangkiti Covid-19.

“Apa guna kalau kita sudah berjaya tubuhkan kerajaan, berjaya selesaikan PRN tetapi kemudiannya rakyat begitu ramai yang mendapat jangkitan (Covid-19),” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pendirian parti, Faizal berkata, Bersatu akur dan patuh terhadap semua SOP yang ditetapkan oleh KKM mengenai larangan berkempen menjelang PRN Melaka.

Beliau berkata, partinya akan menggunakan semua saluran yang tersedia terutama media sosial untuk mengetengahkan manifesto parti dan kekuatan calon.

“Akan ada cara lain untuk kita berjumpa dengan rakyat dengan menggunakan sosial media dan pelbagai cara lain untuk kita tunjukkan kepada rakyat dan perkenalkan manifesto kita dan sebagainya.

“Kalau kita buat kerja dengan niat demi rakyat, Allah akan permudahkan, tidak ada apa yang perlu kita takutkan,” katanya.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan larangan sebarang terhadap aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial sempena PRN Melaka berkuat kuasa hari ini hingga 27 Nov, termasuk tidak membenarkan majlis pelancaran jentera pilihan raya.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kemudian mengecam tindakan Khairy itu dan berkata, peguam parti sudah diarah mengkaji sama ada larangan dan sekatan berat kepada calon bertemu pengundi itu adalah sah serta mematuhi peraturan pilihan raya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.