
Mahkamah Tinggi pada 2019 menambah hukuman terhadap lelaki itu kepada penjara 25 tahun dan 13 sebatan bagi kesalahan seks oral dan cubaan merogol.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Lee Swee Seng ketika membenarkan rayuan lelaki berusia 39 itu hari ini berkata, sabitan terhadapnya tidak selamat kerana pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah berkata, ibu mangsa sendiri yang juga saksi pendakwa memberi keterangan bahawa anaknya tidak boleh dipercayai dan mereka-reka cerita.
Lee yang bersidang bersama P Ravinthran dan Hadhariah Syed Ismail berkata, hakim Mahkamah Sesyen gagal memberi dapatan berhubung isu kewibawaan saksi pada akhir kes pendakwaan.
Lelaki itu ditahan di Penjara Kota Kinabalu sejak pertama kali didakwa kerana tidak mampu membayar jaminan RM10,000 seperti diperintahkan mahkamah.
Dia didakwa memaksa kanak-kanak itu melakukan seks oral ke atasnya pada 19 Mac 2015 selain cuba merogol anak tirinya itu pada keesokannya di sebuah rumah di Kota Kinabalu.
Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Sesyen memerintahkannya dipenjara 15 tahun dan 10 sebatan kerana cubaan merogol.
Dia turut dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan kerana kesalahan melibatkan seks oral.
Kedua-dua hukuman diarahkan berjalan serentak bererti dia perlu menjalani tempoh penjara 15 tahun dan 13 sebatan.
Pendakwaan kemudian memfailkan rayuan untuk hukuman lebih tinggi, manakala lelaki itu merayu terhadap sabitannya.
Mahkamah Tinggi pada 10 Dis 2019 membenarkan rayuan pendakwaan dan mengarahkan perayu dihukum penjara 25 tahun dan 13 sebatan.
Peguam K Rakhbir Singh mewakili lelaki itu manakala Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee hadir bagi pihak pendakwaan.