
Timbalan Pengerusinya, Ahmad Faizal Azumu, berkata ini kerana pihaknya masih menaruh kepercayaan penuh kepada kepimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dalam mentadbir negara.
“Tidak terlintas pun di fikiran kami (menarik sokongan) kerana kami lihat kerajaan ketika ini sedang berjalan dengan baik, dengan usaha dipergiatkan melalui gagasan Keluarga Malaysia yang telah dilancarkan.
“Semuanya berjalan dengan lancar, insya Allah kami akan teruskan (kerjasama) dan kami mohon agar Allah mempermudahkan segala urusan,” kata Timbalan Presiden Bersatu itu selepas menghadiri Senamrobik Perdana Peja Trophy 2021 di Padang Bola Sepak Lintau di sini.
Pada 22 Okt lepas, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu yang menganggotai PN dalam menghadapi PRN Melaka.
Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, secara peribadi, hubungannya dengan kebanyakan pemimpin Umno, terutama yang berada dalam Kabinet masih baik dan tidak terganggu dengan sebarang percaturan politik.
“Saya juga lihat ada dalam kalangan rakyat dan pemimpin antara dua kelompok ini masih boleh bekerjasama, namun saya tidak menolak kemungkinan berlaku satu atau dua individu yang agak keliru dengan agenda yang sepatutnya dibawa.”
Selain itu, katanya, PN masih membuka pintu rundingan kerjasama dengan semua parti, termasuk Umno dalam memastikan kemenangan berjaya direalisasikan dalam PRN Melaka.
“Seperti yang disebut Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, kami sememangnya mahu bekerjasama dengan semua pihak yang nak membangunkan negara, melakukan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, namun semuanya terpulang kepada mereka.”