Kes turun ketika negara menuju ke fasa endemik Covid-19

Kes turun ketika negara menuju ke fasa endemik Covid-19

Sebanyak 41,508 kes jangkitan dilaporkan sejak tujuh hari lalu, penurunan lebih 10,000 berbanding 52,321 pada minggu sebelumnya.

Kes Covid-19 serius dilaporkan meningkat sejak aktiviti merentas negeri dibenarkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Negara menginjak perlahan menuju fasa endemik Covid-19, apabila kes harian dilaporkan menurun dan lebih banyak negeri akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sebanyak 41,508 kes jangkitan dilaporkan sejak tujuh hari lalu, penurunan lebih 10,000 berbanding 52,321 pada minggu sebelumnya, menjadikan jumlah kumulatif kes 2,426,050.

Daripada jumlah kes-kes yang dilaporkan minggu ini, 824 berada dalam Kategori 3, 4 atau 5 ketika diagnosis.

Sebanyak 60,370 kes pulih dicatatkan sepanjang minggu ini, sekali lagi lebih tinggi daripada jumlah jangkitan. Setakat 22 Okt, sebanyak 80,697 kes aktif masih dirawat.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Terengganu dan Johor akan memasuki Fasa 4 mulai 25 Okt, dengan Perlis, Perak, Kelantan, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak kekal dalam Fasa 3.

Tiada negeri masih berada bawah Fasa 1 atau 2.

Bagaimanapun, di laman Instagram, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengingatkan orang ramai bahawa Malaysia masih belum selamat daripada wabak.

Sejak enam hari lalu, seramai 454 orang meninggal dunia akibat wabak, menjadikan angka keseluruhan kematian 28,312 setakat 11.59 malam pada 22 Okt.

Sebanyak 56 kluster baharu dikesan, sementara kadar jangkitan negara menurun sedikit dalam seminggu lalu, daripada R0 0.88 Ahad lepas menjadi 0.87 pada Jumaat.

Kira-kira 94.4% populasi orang dewasa di Malaysia telah lengkap vaksinasi, manakala 97.4% telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Dari segi populasi keseluruhan, 77.6% telah menerima dos pertama, manakala 72.2% lengkap vaksinasi.

Berikut adalah tajuk-tajuk berita utama berkaitan Covid-19 minggu ini:

Kenaikan kadar kemasukan ke hospital

Pada Khamis, Khairy memberi amaran bahawa kadar kemasukan ke hospital di Lembah Klang dan Sarawak menunjukkan peningkatan. Menurut portal CovidNow, kemasukan ke hospital di Lembah Klang meningkat sebanyak 22% sepanjang minggu ini manakala Sarawak menyaksikan peningkatan 16%.

Katanya lagi, hospital di Sarawak dan bahagian selatan Semenanjung melaporkan peningkatan kes Covid-19 Kategori 3, 4 dan 5 sejak larangan perjalanan rentas daerah dan negeri dimansuhkan.

Di media sosial, Khairy berulang kali mengingatkan rakyat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, terutamanya memakai pelitup muka apabila tidak makan atau minum.

Beliau turut memanjangkan peringatan sama buat ahli politik, terutamanya apabila bertemu orang lain di tempat awam, kerana beliau melihat ramai rakan sekerjanya tidak memakai pelitup muka ketika menghadiri mesyuarat.

Remaja diberi vaksin pada kadar pantas

Dengan 80% daripada individu berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, Khairy memuji kadar vaksinasi remaja sebagai antara yang paling pantas di dunia.

Beliau menegaskan, ini dicapai dalam tempoh kurang dua bulan sejak pelancaran pemberian vaksin kepada remaja bermula 8 Sept.

Langkah seterusnya adalah memberi vaksin kepada kanak-kanak bawah 12 tahun, dengan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang berunding untuk mendapatkan lebih banyak vaksin bagi mereka.

Sinar harapan bagi sektor pelancongan

Setelah hampir dua tahun berdepan wabak dan sekatan, para pengusaha hotel dan penggiat sektor pelancongan diberi sedikit harapan melalui langkah-langkah pertama ke arah keadaan normal pada Jumaat.

Perdana Menteri mengumumkan Pulau Langkawi akan dibuka mulai 15 Nov bagi pelancong asing yang telah lengkap vaksinasi, tanpa perlu menjalani kuarantin.

Bagaimanapun, mereka mesti berada di pulau tersebut sekurang-kurangnya tiga hari, memuat turun dan menggunakan aplikasi MySejahtera, selain menjalani ujian Covid-19 tiga hari sebelum terbang ke Langkawi.

Mereka juga mesti mempunyai perlindungan insurans bernilai sekurang-kurangnya USD80,000 dan mesti menggunakan perkhidmatan pengendali pelancongan berdaftar.

Singapura benarkan kuarantin di rumah

Mulai 27 Okt, Singapura akan melonggarkan peraturan kuarantinnya bagi beberapa negara, termasuk Malaysia, dengan pengembara tidak lagi perlu menjalani notis kekal di rumah (SHN) di pusat kuarantin yang ditetapkan.

Rakyat Malaysia akan dibenarkan menjalani kuarantin di tempat kediaman atau tempat tinggal di Singapura tanpa mengira status vaksinasi dan sejarah perjalanan.

Mereka juga tidak akan diminta untuk menjalani ujian RT-PCR sebaik tiba atau saringan kit ujian pantas pada hari ketiga dan ketujuh selepas tiba di Singapura semasa menjalani SHN.

Sebaliknya, mereka hanya perlu menjalani ujian Covid-19 pada akhir tempoh kuarantin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.