Kesatuan pekerja lapangan terbang ‘terkejut’ dengan perubahan dalam MAHB

Kesatuan pekerja lapangan terbang ‘terkejut’ dengan perubahan dalam MAHB

Presiden KESMA Hussin Shahar berkata kesatuan itu masih belum dapat menerima hakikat CEO kumpulan, Mohd Shukrie Mohd Salleh meninggalkan syarikat awal.

Semalam diumumkan CEO kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Mohd Shukrie Mohd Salleh telah meletak jawatan, berkuat kuasa 24 Okt.
KOTA KINABALU:
Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airports Berhad Semenanjung (KESMA) menzahirkan rasa terkejut dengan peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Mohd Shukrie Mohd Salleh semalam.

Peletakan jawatannya diumumkan hanya beberapa jam selepas bekas Pengarah Urusan kumpulan Media Prima, Iskandar Mizal Mahmood dilantik sebagai Pengarah Urusan MAHB baharu.

Presiden KESMA Hussin Shahar berkata, kesatuan itu masih belum dapat menerima hakikat Shukrie meninggalkan syarikat awal.

“Kami harap kontraknya dilanjutkan sekurang-kurangnya satu penggal lagi,” katanya mengenai Shukrie, yang kontraknya sepatutnya berjalan sehingga akhir tahun depan.

Tambah Hussin, kesatuan itu memandang tinggi kewibawaan Shukrie, terutamanya dalam pengurusan tenaga kerja lapangan terbang semasa wabak.

“Tiada seorang pun kakitangan kami diberhentikan setakat ini,” katanya kepada FMT.

“Sehingga kini, semua kakitangan masih bekerja dengan Malaysia Airports, kebanyakannya dari rumah, dan masih dibayar gaji penuh.

“Shukrie adalah antara individu paling tepat di Malaysia untuk menguruskan masalah (disebabkan oleh Covid-19) ini.”

Dalam kenyataan semalam, MAHB berkata, Shukrie meletak jawatan untuk merebut peluang lain. Peletakan jawatannya berkuat kuasa bermula 24 Okt, sehari sebelum pelantikan Iskandar berkuat kuasa.

Ini menyusul laporan FMT bahawa seorang pemegang taruh utama meminta Shukrie disingkirkan, walaupun lembaga pengarah mengakui prestasinya bagus.

Laporan berhubung kemungkinan penyingkirannya mencetuskan semula kebimbangan mengenai pengambilalihan lapangan terbang Subang oleh sebuah syarikat swasta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.