
Dalam kenyataan, KPKT berkata jawapan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Reezal Merican di Parlimen bahawa projek perumahan yang masih terbengkalai sebanyak 79 projek adalah tepat dan direkodkan di dalam Jabatan Perumahan Negara (JPN).
KPKT berkata berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman web di bawah tajuk “Projek Perumahan Terbengkalai” empat dokumen telah dimuat naik iaitu:
I) Senarai Hitam Pemaju Projek Perumahan Swasta Terbengkalai
II) Senarai Projek Di Dalam Perancangan Pemulihan
III) Senarai Projek Sedang Dalam Proses Pemulihan
IV) Senarai Projek Dalam Kategori Projek Statik.
“Bilangan 79 projek yang dinyatakan oleh Reezal Merican telah dibahagikan mengikut kategori seperti Senarai II, III dan IV dan ia merupakan projek-projek yang masih belum selesai sehingga 31 Ogos lalu.
“Kenyataan HBA berhubung angka 198 projek perumahan terbengkalai pula merujuk kepada Senarai (I) iaitu 198 pemaju projek perumahan swasta yang melibatkan projek yang telah selesai dan belum selesai, yang disenarai hitam.
“Senarai pemaju yang terlibat dengan projek terbengkalai ini akan terus kekal dalam senarai hitam ini bagi tujuan pemakluman umum,” katanya.
Terdahulu, FMT melaporkan HBA mempersoalkan perbezaan antara jumlah projek rumah terbengkalai yang didedahkan oleh Reezal dengan angka yang disenaraikan pada laman sesawang kementerian terbabit.
Baru-baru ini Reezal memberitahu Parlimen bahawa terdapat 79 projek rumah swasta yang terbengkalai setakat 30 Sept dan ia membabitkan lebih 17,000 unit serta 11,000 pembeli.
Bagaimanapun laman sesawang kementerian pula menyenaraikan sebanyak 198 projek rumah terbengkalai, dan angka itu disahkan oleh jurucakapnya sambil menjelaskan jumlah tersebut membabitkan projek di seluruh Semenanjung.
Bercakap kepada FMT, Setiausaha Agung HBA Chang Kim Loong berkata, beliau tertanya-tanya mengapa terdapat perbezaan yang begitu ketara.
Dalam pada itu, KPKT juga berkata kekeliruan berkenaan perbezaan angka projek perumahan terbengkalai itu telah dibincang dan dijelaskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Projek Perumahan Swasta (JKKPS) pada 5 Okt lalu yang turut dihadiri oleh wakil HBA.
KPKT bagaimanapun berkata, bagi memastikan kekeliruan ini tidak lagi timbul, kementerian itu sedang menambah baik paparan maklumat di senarai I supaya lebih mudah difahami dan dirujuk oleh mana-mana pihak.