
Katanya, bantuan BUDI adalah antara usaha diambil kerajaan negeri bagi membantu pelajar yang meneruskan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dan diploma.
“Yayasan Sabah menerusi BUDI menyalurkan bantuan ‘one off’ sebanyak RM2,000 kepada 479 pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, manakala sebanyak RM1,500 seorang kepada 168 pelajar peringkat diploma serta 23 di peringkat persediaan.
“Selain bantuan BUDI, kerajaan turut memberi Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) bagi pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) iaitu sebanyak RM200 seorang.
“Inisiatif lain yang turut dilaksanakan ialah pengagihan 10,000 komputer riba menerusi Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) kepada pelajar yang tidak berkemampuan dan bakal menduduki peperiksaan penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan bantuan BUDI kepada pelajar B40 di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Tugas-Tugas Khas, Arifin Ariff; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Mohd Khairul Adib Abd Rahman; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Haji Safar Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Zulkapli Mohamed; dan Naib Canselor UMS, Prof Taufek Yap.
Hajiji berkata, kerajaan sentiasa beriltizam bagi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam mendapatkan pendidikan yang terbaik dan berkualiti dan prihatin terhadap bebanan kos pendidikan yang ditanggung ibu bapa, khususnya golongan B40.
“Setakat ini, bagi bantuan BUDI seramai 1,079 pelajar telah diluluskan daripada lebih kurang 5,000 yang dijangka menerima faedah ini dengan membabitkan peruntukan RM10 juta.
“Bagi bantuan BAKTI pula, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM7.6 juta yang akan memberi manfaat kepada lebih kurang 37,835 pelajar.
“Bantuan BAIK pula, setakat ini sebanyak 7,714 komputer riba telah diagih kepada pelajar terbabit dan selebihnya iaitu 2,272 lagi akan diagih sebelum hujung bulan ini,” katanya.