AirAsia X tawar 0.5%, selesai hutang RM600 juta kepada penumpang, ejen

AirAsia X tawar 0.5%, selesai hutang RM600 juta kepada penumpang, ejen

Syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata pemiutang mungkin langsung tidak mendapat apa-apa sekiranya usaha penstrukturan semula hutangnya gagal mendapat kelulusan.

AirAsia X berkata penstrukturan semula hutang perlu untuk memperoleh dana dan mengemas kini modelnya demi bertahan dan terus berkembang bagi jangka panjang.
PETALING JAYA:
Ribuan penumpang yang mempunyai kredit dengan AirAsiaX (AAX) berkemungkinan hanya mendapat semula 0.5% daripada jumlah dihutangkan kepada mereka di bawah cadangan penstrukturan semula hutang syarikat itu, yang akan diundi pada 12 Nov.

Syarikat penerbangan itu berkata, sekiranya diluluskan, ia akan menjadi penyelesaian penuh dan muktamad, seterusnya syarikat tidak boleh dikenakan tindakan perundangan daripada mana-mana pemiutang selepas itu.

Bagaimanapun, katanya AAX berisiko dibubarkan sekiranya perancangan itu gagal dipersetujui, mengikut kenyataan yang dilihat oleh FMT.

Bagi membayangkan jumlah mungkin diperoleh penumpang, syarikat berkata sesiapa yang dihutang RM2,000 akan mendapat RM10 sebagai “perkongsian untung” pada ulang tahun kelulusan usaha ini. Tambahnya, mereka juga akan mendapat pulangan sama untuk empat tahun selepas itu berdasarkan formula khusus yang digariskan.

Mengikut butiran pemiutang yang terkandung dalam kenyataan itu, AAX berhutang kira-kira RM600 juta kepada penumpang dan ejen pelancongan, bererti ia perlu membayar RM2.9 juta sekiranya diluluskan.

Menurut cadangan yang dihantar menerusi emel itu, pemiutang telah diklasifikasikan kepada tiga kategori. Mereka akan mengundi dalam mesyuarat maya yang dikendalikan individu dilantik oleh Mahkamah Tinggi.

Pemiutang yang melantik proksi mesti memberi notis sekurang-kurangnya 48 jam sebelum mesyuarat bermula.

Katanya, pemiutang Kelas A adalah mereka yang mempunyai sekuriti terhadap aset AAX; Kelas B antara lain merangkumi penumpang dan ejen pelancongan; manakala Kelas C adalah Kumpulan Airbus.

“Kegagalan melaksanakan usaha penstrukturan semula ini berkemungkinan akan mengakibatkan insolvensi AAX dan ia dijangka mengalami pembubaran. Sekiranya itu berlaku, anggaran jumlah yang boleh diperoleh pemiutang AAX adalah sifar,” katanya dalam dokumen sepanjang 110 muka surat itu.

“Untuk mengelak pembubaran dan membolehkan syarikat penerbangan ini beroperasi semula, satu-satunya pilihan adalah untuk AAX mengambil tindakan ini, iaitu mengumpulkan dana dan mengemas kini modelnya demi bertahan dan terus berkembang bagi jangka panjang.”

Kata syarikat itu, penyusunan semula operasi dan tanggungjawab kewangannya, serta semakan semula pelan perniagaan, akan membuka peluang untuknya memperbaharui dan ‘reset’.

Susulan keadaan kewangan yang meleset, AAX Group mengambil beberapa langkah pengecilan. Ini termasuk mengurangkan bilangan kakitangannya daripada kira-kira 2,364 setakat 31 Dis 2019, kepada hanya 948 pada masa ini.

AAX berkata, bagi tempoh 18 bulan sehingga 30 Jun tahun ini, ia telah memperuntukkan RM23.8 bilion untuk melunaskan hutangnya dengan pemiutang. Katanya, liabiliti berkontrak bagi peruntukan itu akan diketepikan sebaik penstrukturan semula berjaya diselesaikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.