
Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, sesi penerangan itu akan membabitkan pakar kesihatan, agamawan dan mufti bagi memberi maklumat tepat berhubung pengambilan vaksin berkenaan.
Beliau berkata, jika mengikut perundangan guru berkenaan yang menolak pengambilan vaksin Covid-19 boleh ditamatkan kontrak berikutan mereka bukannya berstatus penjawat tetap.
“Namun kita melihat kepada sumbangan dan peranan mereka yang masih diperlukan jadi kita guna pendekatan bagi memberi pendidikan serta kesedaran kepada pihak terlibat,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini guru KAFA terbabit, yang sebelum ini menolak mengambil vaksin Covid-19 menerusi sesi khas dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), September lalu.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini, turut menzahirkan rasa kecewa atas tindakan pihak berkenaan.
Mengulas lanjut, Zawawi berkata, buat masa ini, satu kes kematian akibat jangkitan Covid-19 direkodkan di Selangor melibatkan seorang guru KAFA yang dilaporkan belum menerima suntikan vaksin.
“Sebab itu pentingnya mereka ini (guru Kafa) divaksin. Murid Tahun 1 dan 2 juga akan divaksin, jadi guru juga haruslah menerima suntikan itu bagi mengelakkan risiko lebih bahaya,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap guru terlibat akan mendapat maklumat yang tepat selepas sesi penerangan itu bagi membolehkan proses pembelajaran berjalan lancar.