Sabah mula beri dos penggalak hari ini

Sabah mula beri dos penggalak hari ini

Ketua Menterinya Hajiji Noor berkata ia akan dilaksanakan menerusi dua peringkat membabitkan petugas barisan hadapan, warga emas dan golongan berisiko tinggi.

Dos penggalak diberikan secara percuma dan sukarela di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kepada mereka yang lengkap vaksin sekurang-kurangnya enam bulan lalu.
KOTA KINABALU:
Kira-kira 60,000 petugas barisan hadapan dan 193,953 warga emas serta golongan berisiko tinggi di Sabah layak mendapatkan suntikan dos penggalak bermula hari ini.

Ketika melancarkan program suntikan dos penggalak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Ketua Menterinya Hajiji Noor berkata, ia akan dilaksanakan menerusi dua peringkat.

Katanya, peringkat pertama membabitkan petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan sehingga 20 Nov ini dan akan diikuti dengan pemberian suntikan kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas serta individu mempunyai sejarah komorbiditi pada 2 Nov.

Dos penggalak itu diberikan secara percuma dan sukarela di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada mereka yang telah lengkap vaksin sekurang-kurangnya enam bulan lalu.

Buat masa ini, Kementerian Kesihatan telah menetapkan bahawa dos penggalak hanya diberikan kepada mereka yang menerima vaksin Pfizer-BioNTech.

“Walaupun dos penggalak adalah pilihan bagi setiap individu, suntikan ini amat disarankan bagi memberi perlindungan optimum daripada wabak Covid-19,” kata Hajiji dalam kenyataan.

Beliau berkata, dos penggalak juga adalah untuk mereka yang mempunyai sistem imuniti badan yang lemah selepas enam bulan melengkapkan vaksinasi.

Katanya, ia akan diberikan di kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta di bawah pengawasan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera manakala Pusat Pemberian Vaksin (PPV) akan menghantar pemberitahuan menerusi mesej pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon kepada mereka yang tidak menggunakan aplikasi berkenaan.

Setakat 18 Okt, sebanyak 70.8% penduduk dewasa berusia 18 tahun ke atas di Sabah telah lengkap vaksinasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.