
Beliau berkata, kajian berhubung rang undang-undang itu selesai pada 1 Okt lepas dan kini di peringkat persediaan.
“Kerajaan sangat peka dengan keperluan warga emas dan kita telah membuat kajian untuk mewujudkan satu akta khusus untuk warga emas,” katanya dalam sesi soal jawab pada sidang Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Senator Fadhlina Sidek yang ingin tahu sama ada kerajaan berhasrat untuk mewujudkan satu undang-undang khas berkaitan pembelaan dan perlindungan warga emas yang terkait rapat dengan isu pengabaian.
Sementara itu, Siti Zailah pada sidang media berkata, dalam menuju ke status negara tua pada 2030, pihak kementerian menyasarkan untuk mewujudkan sebuah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) bagi setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.
“Sehingga Ogos 2021, seramai 49,675 warga emas berdaftar dengan 143 buah PAWE sedia ada di seluruh negara dan tahun ini, kerajaan telah memperuntukkan tambahan 10 lagi PAWE baharu.
“Pihak kerajaan juga berhasrat menyediakan 222 buah PAWE dengan satu Parlimen akan mempunyai satu PAWE. Setakat ini, 131 kawasan Parlimen telah mempunyai PAWE,” katanya.