
Naib Presidennya Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu perlu dimasukkan dalam suatu “dasar arak” agar isu arak tidak sentiasa dipolitikkan sehingga menimbulkan polemik berterusan.
Pendirian ini dinyatakan di sebalik penjelasan syarikat pengeluar Timah bahawa jenama dan lambang yang digunakannya itu sama sekali tiada kaitan dengan Islam atau mana-mana watak yang dihormati oleh penganut agama itu.
“Pengajaran daripada isu arak berjenama Timah ialah perlu ada ketegasan pemerintah memelihara nama baik Islam dan kedudukannya dalam negara,” katanya di Facebook semalam.
“Perdana Menteri dan khususnya Jemaah Menterinya perlu menjelaskan sikap supaya nama baik Islam di Malaysia tidak dicemari tanpa menidakkan hak bukan Islam dalam keperluan mereka.”
Mujahid berkata kerajaan perlu menyediakan suatu dasar arak merangkumi lima perkara:
- Melarang umat Islam daripada terlibat dalam semua aktiviti pemprosesan, jual beli, pengangkutan, hidangan dan yang berkaitan.
- Sebarang promosi arak dan kaitannya dilarang sama sekali bagi menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan.
- Sensitiviti umat Islam perlu dipelihara dalam semua aktiviti arak dalam kalangan bukan Islam termasuk penganjuran majlis, pemilihan jenama dan simbol yang boleh menimbulkan kemarahan umat Islam.
- Isu hak bukan Islam dalam soal arak dan kaitannya perlu dijauhi daripada eksploitasi politik bagi meraih sokongan dan menimbulkan kebencian.
- Penguatkuasaan undang-undang sama ada peringkat kerajaan tempatan mahupun di peringkat persekutuan perlu diperketatkan dan dibaiki supaya gejala kesan arak dapat dikawal dan ditangani dengan berkesan.
Mujahid berkata, jika lima petunjuk yang beliau nyatakan itu dituruti, “pastinya kelulusan jenama arak Timah tidak akan berlaku dan ditolak sejak awal lagi bagi memelihara kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.”
“Dari sudut industri yang mempromosikan jenama arak Timah sebagai produk Malaysia, ia adalah sesuatu yang memburukkan imej Islam sebagai agama persekutuan dan telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan umat Islam.”
Mujahid merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi hal ehwal Islam dalam pentadbiran Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ke-7. Partinya, Amanah, merupakan komponen Pakatan Harapan.
Terdahulu, syarikat pengeluar Timah menjelaskan nama jenama itu merujuk kepada logam timah, bersempena perlombongan bijih timah ketika Tanah Melayu ditadbir oleh British.
Gambar lelaki berjanggut dengan penutup kepala pula adalah Kapten Speedy, yang memperkenalkan budaya minum wiski pada zaman itu.
Penjelasan itu dibuat selepas pihak tertentu mengatakan Timah merupakan singkatan kepada Fatimah, anak perempuan Nabi Muhammad, dan penutup kepala Kapten Speedy menyerupai kopiah.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, partinya mahu soal jenama dan lambang itu disemak semula, tetapi menambah Timah adalah seumpama logam dan “tiada lelaki bernama Timah”.
Semalam, Pengarah Eksekutif Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Shaun Cheah berkata, tiada keperluan untuk kerajaan campur tangan dalam cara peniaga menguruskan perniagaan, kecuali terbukti mereka berniat untuk menipu.
“Jika kerajaan berterusan meneliti perniagaan dan bertindak balas terhadap aduan paling kecil, ini tidak akan membantu perniagaan,” katanya ketika dihubungi FMT.