Dos penggalak tunai umrah, KKM perlu bantu penerima Sinovac, kata TH

Dos penggalak tunai umrah, KKM perlu bantu penerima Sinovac, kata TH

Kerajaan Arab Saudi ketika ini hanya membenarkan kemasukan jemaah yang mengambil suntikan vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca saja.

Isu vaksinasi menyebabkan penerima vaksin Sinovac tidak layak dan gagal menetapkan tarikh menunaikan umrah kerana masih tertunggu kebenaran Arab Saudi.
PETALING JAYA:
Lembaga Tabung Haji (TH) meminta kerjasama pihak berwajib khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membantu memudahkan urusan penerima vaksin Sinovac yang mahu menunaikan umrah mendapatkan dos penggalak.

Ketua Pegawai Eksekutif TH Travel and Services Sdn Bhd (THTS), Ahmad Ruzman Ahmad Razali berkata, ia susulan kerajaan Arab Saudi ketika ini hanya memperakui dan membenarkan kemasukan jemaah yang mengambil suntikan vaksin jenis Pfizer dan AstraZeneca sahaja.

Sehubungan itu, penerima vaksin Sinovac dikehendaki mengambil dos penggalak daripada vaksin Pfizer dan AstraZeneca yang diiktiraf di negara ini.

“Mewakili jemaah umrah, saya mengharapkan pertimbangan pihak berwajib atas ruang yang ada bagi membolehkan mereka (penerima vaksin Sinovac) mendapat dos penggalak.

“Ini kerana isu vaksinasi menyebabkan penerima vaksin Sinovac tidak layak dan gagal menetapkan tarikh menunaikan ibadah umrah kerana masih tertunggu kebenaran Arab Saudi.

“Kita percaya dengan KKM dan harap niat ikhlas mereka (bakal jemaah) membuahkan hasil hingga dapat nikmati peluang menunaikan umrah,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mengulas lanjut, Ahmad Ruzman berkata, ramai individu berusia bawah 60 tahun berhasrat menunaikan umrah tetapi tidak memenuhi kelayakan kerana keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada individu berstatus komorbid atau berisiko tinggi.

“Ia menyebabkan mereka masih menunggu (pemberian dos penggalak). Kerajaan ada pilihan lain, mungkin mempertimbangkan pemberian ruang kepada swasta dan bayar dengan harga munasabah dengan seliaan KKM untuk pemberian dos penggalak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.