Saya akan pertahan DUN Pantai Kundor, kata Nor Azman

Saya akan pertahan DUN Pantai Kundor, kata Nor Azman

Nor Azman Hassan yakin beliau masih berupaya menambat pengundi di kawasan itu menjelang PRN Melaka.

Selama lebih tiga tahun berkhidmat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Nor Azman Hassan yakin khidmatnya mampu dinilai sewajarnya penduduk di kawasan berkenaan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Nor Azman Hassan akan mempertahankan kerusi berkenaan pada pilihan raya negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Beliau berkata, hasrat itu berdasarkan keyakinan perkhidmatannya lebih tiga tahun di kawasan berkenaan mampu dinilai dengan pertimbangan wajar oleh penduduk di situ, terutama pengundi pelbagai kaum.

“Saya akui, saya memang baru penggal pertama memberikan perkhidmatan kepada anggota masyarakat, tetapi dalam tempoh tiga tahun lebih itu saya sudah menjelajah seluruh kawasan untuk memberikan perkhidmatan.

“Saya jumpa pelbagai lapisan masyarakat sama ada yang bekerja sendiri, kerja kampung, kakitangan awam dan pekerja swasta dan saya yakin mereka mengenali saya,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Selain Nor Azman, tiga lagi ADUN yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Melaka Sulaiman Md Ali, sehingga membawa kepada tumbangnya kerajaan negeri 4 Okt lalu adalah Idris Haron (Sungai Udang), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) dan Noor Effandi Ahmad (Telok Mas).

Pada pilihan raya umum Ke-14 (PRU14), Nor Azman yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN) menewaskan Juhari Osman (PKR) dan Abdul Halim Maidin (PAS) dengan majoriti 772 undi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.