
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, bekalan air disalurkan secara berperingkat ke 145 kawasan di wilayah Sepang dan 11 kawasan di Kuala Langat mulai 2.30 petang.
“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada 10 pagi 20 Okt (esok),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tempoh gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air.
Katanya, Air Selangor masih menggerakkan bantuan bekalan air menerusi lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengebumian.
Beliau berharap pengguna dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air dari lori tangki.
Orang ramai boleh merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi talian 15300 untuk maklumat lanjut mengenai insiden tersebut, selain Pusat Bantuan di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.