Kontraktor maut terkena renjatan elektrik ketika kerja pendawaian

Kontraktor maut terkena renjatan elektrik ketika kerja pendawaian

Mangsa, Ooi Cheng Siong, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Mangsa yang terkena renjatan elektrik meninggal dunia di lokasi kejadian.
PETALING JAYA:
Seorang kontraktor dipercayai sedang melakukan pendawaian elektrik maut terkena renjatan elektrik, dalam kejadian di sebuah premis industri di Jalan Perusahaan 9, Bandar Baru Mergong Alor Setar, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada 4.09 petang.

“Tiba di lokasi, kami mendapati seorang lelaki berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan sebuah premis industri.

“Mangsa adalah kontraktor yang dilantik pengurusan premis itu untuk melakukan tugas di lokasi berkenaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa dikenali sebagai Ooi Cheng Siong, 59, dan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh anggota perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Ahmad Shukri Mat Akhir, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.