Arak Timah: Kontroversi di sebalik nama, imej ‘kopiah’ Kapten Speedy

Arak Timah: Kontroversi di sebalik nama, imej ‘kopiah’ Kapten Speedy

Komen di media sosial mendorong Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa agar pembuatannya dihentikan.

Timah, wiski buatan Malaysia, menerima kecaman disebabkan nama dan imej pada labelnya.
PETALING JAYA:
Wiski buatan Malaysia yang memenangi anugerah antarabangsa tahun lalu menerima kecaman beberapa hari selepas ia dilancarkan di peringkat antarabangsa dalam acara dalam talian.

Nama Timah, menjadi sasaran kecaman di media sosial kerana dikatakan merupakan kependekan bagi Fatimah, nama anak Nabi Muhammad.

Imej pada labelnya yang menunjukkan seorang pentadbir dan ketua polis era penjajah, Tristram Speedy atau lebih dikenali sebagai Kapten Speedy, turut dibantah.

Komen di media sosial mendorong Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pembuatannya dihentikan dengan berkata, penggunaan nama Timah, yang juga merujuk kepada sejenis bijih galian, bersifat menghina umat Islam.

Pendapat itu turut disokong Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Salim mencadangkan nama arak itu ditukar kepada “Kapten Speedy”, manakala Idris berkata, beliau sudah membuat aduan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Pengkritik mendakwa imej Kapten Speedy pada label arak itu, yang dipaparkan sebagai lelaki berjanggut dan memakai penutup kepala, seolah-olah seorang lelaki Islam alim yang memakai kopiah.

Berikut adalah fakta berkait “kontroversi” ini:

Wiski buatan Malaysia

Wiski Timah, yang dihasilkan oleh Winepak Corporation berpangkalan di Puchong, mengandungi 40% alkohol sama seperti kebanyakan spirit lain seperti gin dan vodka.

Ia dijual pada harga RM190 sebotol di premis runcit terpilih dan secara dalam talian.

Penghargaan antarabangsa

Timah dianugerahkan pingat perak dalam dua pertandingan antarabangsa yang diadakan di San Francisco Ogos tahun lalu, dan pingat emas dalam satu pertandingan lain tahun ini.

Nama sebagai lambang hormat

Menurut pembuatnya, nama Timah diberikan sebagai penghormatan kepada peranan yang dimainkan bijih galian itu dalam pembangunan negara, ketika Tanah Melayu sebelum ini menjadi pengeluar bijih timah terbesar dunia.

Kapten Speedy berperanan campur tangan dalam perang yang tercetus antara geng di Larut, di mana terletaknya antara lombong timah terawal.

Pengkritik nama berkenaan berkata, “Timah” adalah kependekan lazim bagi “Fatimah”, iaitu nama kepada puteri Rasulullah. Bagaimanapun tiada sebarang rujukan kepada perkara ini dalam laman web arak Timah.

Kapten Speedy dalam sejarah negara

Tristam Speedy, seorang penjelajah dan pengembara merupakan superintenden polis pertama di Pulau Pinang pada 1871. Dua tahun selepas itu, beliau dijemput oleh Menteri Perak, Ngah Ibrahim, untuk membantu meredakan perang antara geng di Larut berkenaan hasil timah dan kemudian dilantik sebagai Penolong Residen (pentadbir penjajah).

Menurut pembuat arak Timah, Kapten Speedy adalah individu yang memperkenalkan budaya minuman wiski kepada masyarakat di Tanah Melayu.

Imej pada label

Imej Kapten Speedy yang diletakkan pada label botol arak Timah, yang mungkin diambil pada 1868, menunjukkan beliau memakai pakaian bangsawan Ethiopia. Ketika itu, beliau ditugaskan oleh maharaja Ethiopia untuk melatih angkatan tenteranya dan kemudian menjadi pengawal anak maharaja.

Kontroversi tercetus

CAP mendakwa, “Timah” adalah kependekan bagi nama puteri Rasulullah, Fatimah, dan menggunakan nama itu bagi minuman beralkohol, yang diharamkan dalam Islam, menyinggung perasaan orang Islam.

Persatuan itu berkata, imej Kapten Speedy yang berjanggut menyerupai orang alim Islam dan penutup kepala yang dipakai Speedy menyerupai kopiah.

Reaksi di media sosial

Ramai pengguna Facebook menunjukkan reaksi positif terhadap arak Timah, dengan beberapa individu berkata, mereka tiada masalah dengan namanya.

Ada juga yang berkata, pengkritik Timah tiada pengetahuan mengenai sejarah dan penjelasan mengenai nama arak berkenaan dan tidak masuk akal.

Arak Sahip

Mengikuti jejak CAP, ahli kriminologi, Shamsher Singh Thind menyarankan agar brandi Sahip buatan Malaysia turut diharamkan kerana namanya mirip istilah “sahib” yang digunakan masyarakat oleh Sikh sebagai panggilan hormat bagi guru. Di India, istilah itu turut digunakan dan membawa maksud “tuan”.

Masyarakat Sikh tidak minum arak dan kata Shamsher, semua minuman keras patut diharamkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.