Malaysia bincang kerjasama iktiraf sijil vaksin dengan Indonesia, kata menteri

Malaysia bincang kerjasama iktiraf sijil vaksin dengan Indonesia, kata menteri

Saifuddin Abdullah berkata kerjasama itu akan menyumbang kepada pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur serta merangsang aktiviti ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.

Saifuddin Abdullah berkata, pelaksanaan gelembung perjalanan boleh memberi keutamaan kepada perjalanan rentas sempadan bagi tujuan rasmi dan perniagaan.
KUALA LUMPUR:
Malaysia sedia mengadakan perbincangan di peringkat dasar dan teknikal dengan Indonesia bagi mengiktiraf bersama sijil vaksinasi Covid-19 melalui aplikasi pemantauan negara masing-masing, iaitu MySejahtera (Malaysia) dan PeduliLindungi (Indonesia).

Menteri Luar, Saifuddin Abdullah berkata, kerjasama itu akan menyumbang kepada pembukaan semula sempadan secara beransur-ansur serta merangsang aktiviti ekonomi dan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Malaysia juga menyambut baik cadangan bagi kedua-dua negara melaksanakan gelembung perjalanan seperti inisiatif ‘Reciprocal Green Lane (RGL), Travel Corridor Arrangements (TCA) dan Vaccinated Travel Lane (VTL)’,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dua halanya dengan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi di Jakarta yang diadakan sempena lawatan rasminya ke negara itu.

“Buat masa ini, pelaksanaan gelembung perjalanan boleh memberi keutamaan kepada perjalanan rentas sempadan bagi tujuan rasmi dan perniagaan dan secara beransur-ansur dibuka bagi tujuan lain seperti pendidikan, pelancongan dan sosial.

Dalam pertemuan itu, Saifuddin turut memaklumkan hasrat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan lawatan rasmi ke Indonesia buat julung kalinya dalam masa terdekat.

Ia akan memberi peluang kepada pemimpin tertinggi kedua-dua negara menetapkan hala tuju hubungan kerjasama dua hala antara kerajaan Malaysia yang baharu dan pemerintah Indonesia.

Malaysia juga berharap agar memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua negara bagi kerjasama dalam bidang pendidikan dapat ditandatangani semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Indonesia kelak, katanya.

Mengenai pengambilan tenaga kerja Indonesia dan pekerja domestik, Saifuddin percaya kedua-dua negara akan dapat memuktamadkan “MoU on Recruitment, Employment and Repatriation of Foreign Workers” dan “MoU on the Employment and Protection of Indonesian Domestic Workers in Malaysia”.

Mengenai pekerja migran Indonesia, katanya, Malaysia menzahirkan penghargaan kepada negara itu atas komitmen dan kerjasama yang erat dalam membantu memudah cara penghantaran pulang warganegara Indonesia yang bekerja secara tidak sah di Malaysia.

“Malaysia berharap agar Program Rekalibrasi Pulang (PRP) dan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (PRTK) yang dilanjutkan sehingga hujung tahun 2021 ini dapat dimanfaatkan oleh warganegara Indonesia yang berada di Malaysia yang ingin pulang secara sukarela atau bekerja secara sah di Malaysia,” katanya.

Saifuddin berkata, Malaysia akan terus bekerjasama dengan Indonesia dalam memastikan anak-anak pekerja migran Indonesia mempunyai akses kepada pendidikan, termasuk melalui penubuhan Pusat Pembelajaran Alternatif seperti sekolah ekspatriat, Community Learning Centre (CLC) dan Pusat Bimbingan HUMANA,” katanya.

Saifuddin kini berada dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Jakarta bermula semalam, yang merupakan lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik semula sebagai Menteri Luar pada 30 Ogos lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.