
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak, Shahrizan Raman berkata, bot kayu tradisional tanpa nombor pendaftaran itu ditahan di kedudukan 15.5 batu nautika barat laut Pulau Sembilan dekat Bagan Datuk pada 12.21 tengah hari Sabtu lalu ekoran maklumat awam.
Beliau dipetik Harian Metro sebagai berkata, pihaknya pada awal menerima maklumat bot itu mengalami kerosakan, tetapi hasil pemeriksaan lanjut mendapati ia sebenarnya dari negara jiran dengan membawa enam wanita dan 15 lelaki Indonesia berusia 17 hingga 61 tahun tanpa dokumen pengenalan diri.
Katanya, bot itu bertolak dari Tanjung Balai, Indonesia pada 14 Okt lalu menuju ke perairan Sekinchan, Selangor, sebelum 21 PATI itu ditinggalkan lima tekong yang pulang ke negara asal, selepas enjinnya rosak.
“Modus operandi mereka ialah menunggu bot nelayan tempatan yang dikendalikan warga Indonesia di perairan sempadan untuk dibawa masuk ke perairan negara.
“Namun, pemindahan PATI itu tidak berlaku kerana kru bot tempatan yang sepatutnya datang gagal dihubungi dan ketika itu juga bot berkenaan rosak serta hanyut ke perairan Pulau Sembilan.
“Lima tekong melarikan diri dengan sebuah bot dari negara asal dan turut membawa makanan meninggalkan semua warga senegara yang terpaksa minum dan makan mi segera yang dimasak dengan air laut selama dua hari,” katanya pada sidang media di Pusat Tahanan Vesel Kampung Bharu di Sitiawan, Perak hari ini.
Shahrizan berkata, mereka menggunakan khidmat sindiket didalangi individu dari negara asal dan Malaysia dengan RM1,200 dikenakan bagi perjalanan dari Indonesia ke Malaysia, manakala RM1,500 dari Malaysia ke republik itu.
Katanya, kegiatan itu hanya membabitkan kru dari Indonesia yang digaji kru bot tempatan dan pemilik bot tidak tahu mengenainya.
“Kru itu akan mengambil upah RM200 untuk seorang PATI,” katanya sambil menambah semua PATI itu dipercayai pulang ke Indonesia Julai lalu dan mahu kembali ke Malaysia kerana majoritinya mempunyai pekerjaan, pasangan dan ibu bapa di sini.
Beliau berkata, semuanya dalam keadaan stabil dan direman di lokap APMM Perak selama 14 hari sehingga 30 Okt ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63.