
Dayalan Sreebalan, Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pekerja Malaysia-Singapura berkata, pasukan petugas itu tahu mengenai kes pertikaian gaji itu tetapi tiada seorang pun pekerja terjejas yang menghubunginya.
Baru-baru ini, satu klip video tular menunjukkan beberapa pekerja bertengkar dengan majikan Singapura mereka. Dalam video itu, majikan itu memberitahu pekerjanya yang menuntut gaji mereka supaya “pulang ke Malaysia”.
“Jangan buat macam itu. Kalau tak suka, tak apa, pulang ke Malaysia. Saya mengalu-alukan anda datang bekerja, tetapi jika anda tidak puas hati dengan saya, tak apalah. Anda mahu menjadi ahli politik, balik ke Malaysia untuk lakukannya,” kata majikan itu.
Beliau turut menolak permintaan pekerja untuk menyediakan dokumen “hitam putih” dan bertegas akan membayar gaji mereka “pada minggu ketiga bulan ini”.
Dayalan berkata: “Setahu saya, mereka masih berunding dengan majikan untuk membayar gaji mereka.
“Kementerian Sumber Manusia Singapura tahu mengenai kes ini dan sedang menyiasatnya.”
Bagi pekerja Malaysia yang sudah pulang ke tanah air dan belum dibayar oleh syarikat itu, pasukan petugas terbabit menasihatkan mereka supaya membuat laporan polis dan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura.
Dayalan turut memberitahu FMT bahawa pasukan petugas itu hanya boleh memberi tekanan kepada Kementerian Sumber Manusia supaya bertindak berhubung perkara itu.
“Kami akan mendesak kerajaan Malaysia untuk meminta Suruhanjaya Tinggi mereka bertindak terhadap perkara ini.”
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Bahrain Mansor berkata, kes sedemikian tidak sepatutnya berlaku di negara seperti Singapura yang mengiktiraf piagam Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Katanya, MTUC akan menulis surat kepada Kementerian Sumber Manusia untuk menyiasat perkara itu.
“Jika kes pertikaian gaji ini benar, maka syarikat itu perlu membayar gaji tertunggak kepada pekerja Malaysia,” kata Bahrain.