Tiada lagi penjarakan sosial; solat, umrah kembali normal di Masjidil Haram

Tiada lagi penjarakan sosial; solat, umrah kembali normal di Masjidil Haram

Bagaimanapun, hanya mereka yang lengkap divaksin dibenarkan memasuki pekarangannya, manakala pelitup muka juga mesti sentiasa digunakan.

Gambar dan rakaman pada pagi Ahad menunjukkan jemaah menunaikan solat dengan saf rapat tanpa penjarakan buat kali pertama sejak wabak Covid-19 tercetus, tahun lalu. (Gambar Twitter)
MAKKAH:
Masjidil Haram mula beroperasi mengikut kapasiti penuh hari ini, dengan jemaah menunaikan ibadat tanpa diwajibkan memastikan penjarakan sosial buat kali pertama sejak pandemik bermula.

Pekerja mengalihkan tanda diletakkan pada lantai di sekitar Masjidil Haram yang sebelum ini menjadi panduan untuk penjarakan sosial jemaah.

“Ini selaras dengan keputusan untuk melonggarkan peraturan dikenakan sebelum ini, seterusnya jemaah boleh beribadat di Masjidil Haram mengikut kapasiti penuhnya,” lapor agensi berita rasmi, Saudi Press Agency (SPA).

Gambar dan rakaman pada pagi Ahad menunjukkan jemaah menunaikan solat dengan saf rapat buat kali pertama sejak wabak Covid-19 tercetus, tahun lalu.

Walaupun penjarakan sosial tidak lagi diperlukan, pihak berkuasa berkata hanya pengunjung yang divaksin lengkap dibenarkan memasuki pekarangannya. Pelitup muka juga mesti sentiasa digunakan.

Selain itu, kawasan di keliling Kaabah masih ditutup kepada jemaah.

Arab Saudi pada Ogos telah mengumumkan akan mula membenarkan jemaah asing untuk menunaikan umrah.

Sebelum itu, pada Julai, hanya 60,000 penduduk yang telah divaksin lengkap dibenarkan mengambil bahagian dalam ibadat haji tahun ini.

Wabak Covid-19 menjejaskan teruk ibadat umrah dan haji yang lazimnya meraih keuntungan berjumlah USD12 bilion (kira-kira RM50 bilion) setahun.

Kerajaan Arab Saudi pada 2019 turut mula mengeluarkan visa pelancongan untuk pelancong asing dengan lebih banyak kelonggaran dalam usaha mengubah imejnya di peringkat global selain memperluaskan sumber hasilnya.

Antara September 2019 dan Mac tahun lalu, negara itu telah mengeluarkan sebanyak 400,000 visa pelancongan. Namun malangnya sempadan terpaksa ditutup tidak lama kemudian akibat wabak.

Bagaimanapun, Arab Saudi telah mula membuka semula sempadannya dan menerima pelancong asing yang divaksin lengkap sejak 1 Ogos lalu.

Selain itu, Arab Saudi turut mengumumkan peminat sukan yang telah divaksin lengkap juga boleh menghadiri semua acara di stadium dan kemudahan sukan mulai Ahad, lapor SPA.

Penggunaan pelitup muka di kawasan terbuka juga kini tidak lagi diwajibkan.

Arab Saudi melaporkan lebih 547,000 kes jangkitan Covid-19 dan 8,760 kematian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.