
Katanya, ia petanda virus berkenaan sudah berada dalam masyarakat secara berleluasa dan risiko jangkitan semakin tinggi.
“Daripada 504 kes baharu yang dicatat hari ini, 198 kes atau 39.29% merupakan kes saringan bergejala atau kes-kes yang berlaku secara sporadik.
“Siapa yang menjangkiti dan tempat jangkitan berlaku sukar dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, Sabah meneruskan trend penurunan kes harian dengan catatan kes baharu sebanyak 504 kes iaitu 135 lebih rendah daripada semalam.
Katanya, jumlah berkenaan angka terendah direkodkan sejak 22 Jul.
“Sebanyak 57.7% kes yang direkodkan hari ini adalah kes yang berlaku sepanjang 24 jam yang lalu manakala selebihnya adalah kes-kes lama yang lewat daftar dua hari ke atas setelah keputusan saringan diketahui.
“Daripada keseluruhan kes hari ini juga, 92.06% adalah dalam kategori 1 dan 2, manakala enam kes dalam kategori 3, tiga kes kategori 4 dan dua kes dalam kategori 5, dengan 29 kes lagi masih dalam penilaian pihak JKNS (Jabatan Kesihatan Negeri Sabah).
“Sungguhpun trend penurunan kes harian agak memberangsangkan tetapi kita belum memenangi peperangan melawan pandemik Covid-19 ini.
“Seperti yang diramalkan sebelum ini, kita berada dalam trend “yo-yo”, sekejap turun dan sekejap naik, sikap kita sendiri yang akan menentukan bagaimana trend akan datang ditentukan,” katanya.