Polis siasat cubaan seludup dadah RM431 juta ke Australia

Polis siasat cubaan seludup dadah RM431 juta ke Australia

JSJN Bukit Aman sedang bekerjasama dengan Australian Federal Police dalam siasatan kes berkenaan.

Dadah berkenaan dilaporkan ditemui dalam kapal membawa jubin seramik yang tiba dari Malaysia pada 29 September lalu. (Gambar Polis Australia)
PETALING JAYA:
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) sedang bekerjasama dengan pihak Australian Federal Police (AFP) dalam siasatan berhubung penahanan seorang rakyat Malaysia yang didakwa cuba menyeludup 450kg dadah ke negara itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Razarudin Husain berkata, suspek tersebut sebelum ini dilaporkan telah ditahan pihak berkuasa Australia selepas dikesan cuba menyeludup masuk 450kg heroin bernilai RM431.8 juta ke negara itu.

“Pihak JSJN Bukit Aman kini sedang bekerjasama dengan pihak AFP bagi menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Segala tindakan perlu akan diambil untuk memastikan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang menjadi ancaman kepada negara dapat dibanteras tanpa kompromi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut laporan sebelum ini, dadah berkenaan ditemui dalam kapal membawa jubin seramik yang tiba dari Malaysia pada 29 September lalu.

Polis Australia dipetik berkata kes itu dipercayai jumlah rampasan terbesar negara berkenaan.

Suspek menghadapi hukuman maksimum penjara seumur hidup jika sabit kesalahan kerana mengimport dan cuba memiliki kuantiti komersial dadah yang terkawal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.