Golongan kurang bernasib baik paling terkesan, perlu akses segera bantuan guaman

Golongan kurang bernasib baik paling terkesan, perlu akses segera bantuan guaman

Peguam jenayah Samantha Chong, berkata golongan itu paling terjejas apabila tidak mampu melantik peguam terutama untuk kes hukuman mati.

Ibu tunggal beranak sembilan anak, Hairun Jalmani, meraung kesedihan selepas dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau kerana memiliki syabu, Jumaat lalu.
PETALING JAYA:
Wujud keperluan mendesak untuk golongan kurang bernasib baik mendapat akses terhadap khidmat guaman, terutama bagi kes yang melibatkan hukuman mati, kata peguam jenayah.

Samantha Chong, berkata golongan kurang bernasib baik dan miskin paling terjejas sekiranya tidak berkemampuan melantik guaman.

Katanya, mengikut prosedur biasa, seorang tertuduh yang berdepan hukuman mati akan dihadapkan terlebih dulu ke Mahkamah Majistret.

Sekiranya tidak mampu melantik peguam, mahkamah akan memerintahkan peguam dilantik bagi pihak mereka. Namun itu hanya akan berlaku apabila kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan, yang lazimnya mengambil masa lebih setahun selepas tangkapan.

Chong berkata, tempoh berkenaan malangnya akan menjejaskan peluang peguam bela mendapatkan bukti penting seperti rakaman rakaman kamera litar tertutup (CCTV), yang mungkin dapat menyelamatkan mereka daripada hukuman tali gantung.

Ujarnya, setiap orang perlu memahami betapa pentingnya untuk mendapat nasihat perundangan pada peringkat tangkapan.

Malah, katanya, suspek akan terletak dalam keadaan ‘bahaya’ jika tidak mempunyai bantuan guaman selepas ditangkap.

“Kebanyakan mereka tidak mengetahui hak masing-masing, dan ada ketikanya masalah bahasa juga menjadi kekangan.

“Apabila tidak mendapat khidmat guaman yang kompeten, mereka semakin kurang berpeluang untuk mendapatkan pembelaaan sewajarnya.

“Ada kes yang saya kendalikan, suspek tidak mengetahui apa (dokumen) yang ditandatangani mereka,” katanya kepada FMT, merujuk kepada kenyataan yang diambil di balai polis.

Kenyataan Chong itu dibuat susulan rakaman video yang tular, memaparkan seorang wanita yang meraung ketika diiringi polis wanita, selepas dihukum hukum mati kerana memiliki dan mengedar dadah.

Menurut laporan, ibu tunggal beranak sembilan itu, dikenal pasti sebagai Hairun Jalmani, menerima hukuman berkenaan di Mahkamah Tinggi Tawau, Sabah, pada Jumaat lalu.

Tertuduh berusia 55 tahun yang juga peniaga ikan, dituduh memiliki 113.9g syabu pada 2018. Dia diwakili peguam bela yang dilantik mahkamah untuk perbicaraannya.

Chong berkata, beliau juga maklum mengenai beberapa kes membabitkan dakwaan mengedar dadah yang dikurangkan kepada tuduhan lebih ringan, diringankan walaupun melibatkan jumlah dadah lebih banyak.

“Adakah ini adil?” soalnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.