Ahli gusti pro Malaysia sedia beraksi

Ahli gusti pro Malaysia sedia beraksi

Ahli gusti profesional Ayez Shaukat Fonseka Farid menyambut baik sokongan diberikan oleh bekas Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Ayez Shaukat Fonseka Farid dan Nor “Phoenix” Diana percaya perlawanan pro gusti akan membawa keuntungan ekonomi dan sukan.
PETALING JAYA:
Ahli gusti profesional Malaysia telah bersedia untuk beraksi selepas aktiviti sukan itu mendapat sokongan bekas menteri Maszlee Malik yang mencadangkan kerajaan supaya membantu mengembangkan industri terbabit.

Baru-baru ini, bekas Menteri Pendidikan itu meminta Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk meneliti cadangan itu kerana beliau percaya sukan terbabit mempunyai potensi besar walaupun dikategorikan sebagai hiburan.

Penulis layar dan ahli gusti profesional Ayez Shaukat Fonseka Farid mengalu-alukan cadangan itu.

“Mereka yang terlibat dalam industri ini mungkin boleh mencari pendapatan dan sudah tentu peminat akan menikmatinya apabila diberikan akses. Peluang itu akan berkembang,” katanya kepada FMT.

Ayez berkata sukan gusti profesional amat popular di Malaysia dan buktinya, stesen televisyen satelit Astro turut menyediakan satu saluran khusus untuk gusti.

“Kita mempunyai bakat, kita mempunyai kepakaran, dan sekiranya ada sokongan, Malaysia mungkin menjadi hab untuk sukan gusti profesional di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Seorang lagi ahli gusti profesional, Nor “Phoenix” Diana, berkata Malaysia bakal menjadi pusat gusti profesional terbesar di Asia Tenggara.

“Sokongan dan perjanjian penyiaran di televisyen pastinya akan mengangkat kedudukan Malaysia ke peringkat tertinggi,” kata “Phoenix” yang juga ahli gusti profesional berhijab pertama dunia.

Katanya, ahli gusti profesional dari seluruh Asia Pasifik juga akan berminat untuk datang ke Malaysia, sekaligus membantu menyumbang kepada ekonomi negara.

Bagaimanapun, seorang peminat dikenali sebagai Azman pula bimbang dengan penerimaan sukan itu di kawasan lebih bersifat konservatif di negara ini dan kemungkinan menerima kecaman.

Dia mencadangkan supaya pihak terbabit melakukan penyelidikan terlebih dahulu di kalangan rakyat Malaysia yang menonton rancangan gusti seperti World Wrestling Entertainment (WWE) untuk menentukan penerimaan sebenar terhadap sukan itu.

Bagaimanapun katanya, dia percaya sukan gusti berpotensi untuk berkembang dan menjadikan Malaysia lebih terkenal di mata dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.