
MAINS menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, lima sekeluarga itu hilang tempat berteduh selepas terpaksa keluar dari rumah sewa.
Ketua keluarga, Muhammad Mujahid Mohd Kamal Jalani, 32, dan isterinya, Sayidah Suhaila Mohd Shukri, 28, telah empat tahun bermastautin di negeri ini dan dikurniakan tujuh cahaya mata.
Turut dimaklumkan, tiga anak mereka yang berumur tujuh, lapan dan sembilan tahun ditempatkan di sebuah asrama kebajikan manakala seorang berusia lima tahun dijaga oleh ahli keluarga.

“Tiga orang lagi yang berumur setahun, tiga tahun dan bayi berusia 3 bulan tinggal bersama mereka.
“Muhammad Mujahid mempunyai masalah kesihatan ‘slipped disc’ manakala isterinya mempunyai penyakit asma kronik,” menurut kenyataan.
Permasalahan ini sedikit sebanyak mengganggu usaha pasangan ini dalam mencari dan meneruskan pekerjaan.

Bertindak atas maklumat, MAINS pada petang semalam telah menziarah keluarga tersebut bagi menghulurkan sumbangan termasuk bantuan kewangan, penempatan baru dan barangan dapur.
“Melalui amanah zakat MAINS, keluarga ini akan dibantu dengan penempatan rumah sewa baharu beserta bayaran deposit, bantuan kewangan kecemasan serta barangan dapur.”