Tersentuh nasib 5 beradik, PM ziarah kanak-kanak yatim piatu kerana Covid

Tersentuh nasib 5 beradik, PM ziarah kanak-kanak yatim piatu kerana Covid

Lima beradik berusia 3 hingga 11 tahun itu kini dijaga secara bergilir-gilir oleh keluarga mereka selepas ibu bapa meninggal dunia pada Ogos dan Oktober lalu.

Perdana Menteri Ismail Sabri ketika menziarahi keluarga berkenaan berkata beliau tersentuh dengan nasib menimpa Hadrami, 11, dan empat adiknya. (Gambar Facebook Ismail Sabri)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini melawat lima beradik berusia antara tiga dan 11 tahun yang menjadi yatim piatu selepas kehilangan ibu bapa mereka akibat Covid-19, di Seri Kembangan.

Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya hari ini, Ismail Sabri berkata beliau tersentuh dengan kisah Hannan Humaira, 3, Hawwas, 6, Harraz, 8, Husna Humaira, 9, dan Hadrami, 11, yang kini dijaga secara bergilir-gilir oleh datuk, nenek serta bapa dan ibu saudara mereka.

“Saya akan terus beri perhatian kepada Keluarga Malaysia terutama dalam kes seumpama ini demi kelangsungan hidup terutama dari aspek pendidikan mereka.

“Terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, kementerian, agensi, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), syarikat swasta serta masyarakat yang membantu,” katanya.

Sementara itu bapa saudara kanak-kanak itu, Mohd Ariff Hafizan Abdul Razak dalam perkongsiannya di laman sosial Facebooknya pula melahirkan rasa syukur apabila nasib kelima-lima anak saudaranya itu mendapat perhatian pemimpin nombor satu negara.

“Alhamdulillah terima ziarah Perdana Menteri YAB Ismail Sabri pada jam 12 tengah hari ini. Sangat baik dan ‘humble’ orangnya. ‘We’re very lucky having him as our PM.’ (Kita bertuah dapat beliau sebagai Perdana Menteri).

“Syukur…Allah hadirkan orang hebat untuk bantu anak-anak syurga ni. Kami sudah tidak perlu risau lagi memikirkan tentang masa depan mereka terutamanya berkaitan pendidikan mereka,” katanya.

Mohd Ariff Hafizan ketika dihubungi Bernama memberitahu bahawa bapa lima beradik itu, Mohd Nasir Tahal meninggal dunia 11 Ogos lepas manakala ibu mereka yang juga kakaknya, Ida Haryanie Abdul Razak meninggal dunia pada Khamis 7 Okt.

Beliau berkata Perdana Menteri dalam lawatan itu sangat mengambil berat mengenai pendidikan anak-anak saudaranya dan berjanji akan memastikan pendidikan mereka tidak terjejas sehingga dewasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.