Pastikan pelajar tahfiz divaksin, Mufti P Pinang beritahu ibu bapa

Pastikan pelajar tahfiz divaksin, Mufti P Pinang beritahu ibu bapa

Ia selepas tiga kategori sekolah agama merekodkan kadar vaksinasi remaja yang rendah.

Hanya 27% pelajar sekolah tahfiz, sekolah menengah agama rakyat dan sekolah pondok di Pulau Pinang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Mufti Pulau Pinang meminta ibu bapa bertindak segera, selepas lebih 70% pelajar sekolah agama di negeri itu belum mendapatkan vaksin Covid-19.

Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, dengan 10 pusat pemberian vaksin (PPV) di Pulau Pinang bakal ditutup menjelang 31 Okt ini, ibu bapa perlu bertindak segera bagi memastikan anak mereka divaksinasi.

Kerajaan Pulau Pinang pada Jumaat mendedahkan hanya 27% pelajar sekolah tahfiz, sekolah menengah agama rakyat dan sekolah pondok sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, manakala hampir 72.8% belum divaksin.

Bercakap kepada FMT, Wan Salim berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan sudah memutuskan hukum menerima vaksin adalah harus dan wajib.

“Ya, harus dalam keadaan biasa, tetapi sekiranya pasti atau berat sangkaan akan berlaku jangkitan, sama ada kepada diri sendiri atau kepada orang lain, maka hukum bertukar menjadi wajib.

“Ini adalah kerana Islam melarang umatnya mendedahkan diri sendiri kepada kemudaratan dan memudaratkan orang lain.

“Termaklum kerajaan Malaysia mengarahkan seluruh rakyat supaya mengambil vaksin bagi mencegah penularan pandemik Covid-19 yang memudaratkan kesihatan, malah mengancam nyawa mangsanya.

“Islam mewajibkan ke atas rakyat mentaati pemerintah dalam perkara-perkara baik dan bermanfaat,” katanya sambil memetik petikan ayat al-Quran dari Surah An-Nisa ayat 59.

Wan Salim berkata, sebagai ibu bapa bertanggungjawab, menjadi tugas mereka untuk memastikan anak mereka divaksinasi.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin dilaporkan berkata, terdapat 5,654 pelajar sekolah tahfiz, sekolah pondok dan sekolah menengah agama rakyat di Pulau Pinang.

“Daripada jumlah itu, hanya 1,534 atau 27.13% telah menerima satu dos vaksin, manakala yang belum divaksin ialah 4,120 (72.87%) dan jumlah ini masih rendah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Berbanding sekolah aliran biasa, 89.3% daripada 126,452 pelajar sudah menerima dos pertama mereka dan mula menerima dos kedua semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.