Individu lengkap vaksin tidak lagi perlu mohon EnterSarawak, kata JPBN Sarawak

Individu lengkap vaksin tidak lagi perlu mohon EnterSarawak, kata JPBN Sarawak

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, berkata individu lengkap vaksin tidak diwajibkan jalani saringan Covid-19 untuk masuk ke negeri itu.

Sekiranya individu lengkap divaksin berhasrat masuk ke Sarawak, mereka wajib memiliki status ‘Risiko Rendah’ atau ‘Kontak Kasual Tidak Bergejala’ sahaja dalam aplikasi MySejahtera.
KUCHING:
Individu dari Semenanjung, Sabah dan Labuan lengkap vaksinasi Covid-19 tidak lagi perlu membuat permohonan melalui EnterSarawak untuk memasuki negeri itu berkuat kuasa Isnin ini, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan individu yang ingin memasuki Sarawak hanya perlu mengisi Borang Deklarasi e-Health (eHDF), tidak diwajibkan menjalani saringan Covid-19, wajib memiliki bukti status lengkap vaksinasi serta wajib memiliki status ‘Risiko Rendah’ atau ‘Kontak Kasual Tidak Bergejala’ sahaja dalam aplikasi MySejahtera.

Bagi individu yang tiada atau tidak lengkap divaksin dan ingin memasuki Sarawak, mereka wajib membuat permohonan melalui EnterSarawak dan membuat saringan ujian Tindak Balas Berantai Polimerase Masa Nyata (RT-PCR) atau Rapid Antigen (RTK Antigen) dalam tempoh tiga hari, sebelum memasuki Sarawak.

“Selain itu, mereka perlu menjalani kuarantin di rumah atau stesen kuarantin selama 10 hari, manakala kanak-kanak di bawah umur 12 tahun perlu membuat saringan Covid-19, sekiranya memasuki Sarawak bersama ibu bapa atau penjaga yang tidak lengkap vaksinasi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi pengembara dari luar negara, mereka wajib membuat permohonan dalam EnterSarawak, perlu mengisi eHDF dan membuat saringan ujian RT-PCR dalam tempoh tiga hari, sebelum memasuki Malaysia.

“Hanya pengembara dari luar negara memiliki status lengkap vaksinasi dibenarkan untuk transit ke Sarawak dalam tempoh 24 jam. Tempoh kuarantin adalah tujuh hari dari tarikh kemasukan ke Malaysia bagi pengembara lengkap divaksin dan 10 hari bagi yang tiada atau tidak lengkap divaksin,” menurut JPBN Sarawak.

Mengenai perkembangan harian Covid-19, JPBN Sarawak memaklumkan hanya 28 daripada 1,055 kes positif Covid-19 di negeri itu membabitkan jangkitan paru-paru yang memerlukan bantuan oksigen dan ventilator, manakala baki 1,027 kes pula tidak bergejala atau mempunyai gejala ringan.

Selain itu, 12 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini yang bermula sejak 4 hingga 15 Oktober lalu, manakala jumlah kluster yang aktif adalah 57.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.