Dua kertas siasatan dibuka, siasat dakwaan individu dipercayai antivaksin

Dua kertas siasatan dibuka, siasat dakwaan individu dipercayai antivaksin

Siasatan dibuat berhubung dakwaan kematian selepas disuntik vaksin, kononnya melibatkan dua murid di Ipoh, dan seorang guru berusia 41 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan, berkata dua kertas siasatan dibuka terhadap individu dipercayai antivaksin. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis membuka dua kertas siasatan terhadap individu dipercayai antivaksin, membabitkan siasatan berhubung klip video seorang wanita mengaitkan kematian dua murid sekolah di Ipoh, dan dakwaan kematian 41 guru, akibat suntikan vaksin.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan berkata, siasatan kes pertama dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan dengan niat menyebabkan atau mungkin menyebabkan ketakutan atau kegentaran kepada awam.

Katanya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Abd Jalil berkata, kertas siasatan akan dirujuk kepda Pengarah Pendakwaan Negeri dalam tempoh terdekat untuk arahan lanjut.

“Kes kedua membabitkan siasatan terhadap ciapan pemilik akaun Twitter, Khalid@khalids, mengenai kematian 41 guru disebabkan oleh suntikan vaksin.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah, Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan kerana niat hendak mengapikan atau mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah, kes itu juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Kertas siasatan masih dalam tindakan polis kerana menunggu laporan ‘profiling’ dari pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.