
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno di Menara Onn.
Sebelum ini, Idris Haron bersama tiga lagi ADUN iaitu Azman, Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) mengumumkan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Sulaiman Md Ali.
Sehari kemudian, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Ab Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN, seperti diputuskan Yang Dipertua Negeri, Mohd Ali Mohd Rustam.
Dalam pada itu, Ahmad berkata Umno juga mengarahkan jentera parti di setiap peringkat membuat persiapan yang rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ini dengan menuruti SOP yang akan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau berkata agihan kerusi untuk Umno bertanding di PRN Melaka masih belum diputuskan dan akan dibincangkan pada mesyuarat lain.
“Sudah tentu debaran tunggu keputusan SPR Isnin ini. Bagaimanapun keputusan malam ini arah semua jentera parti siap sedia hadapi PRN sama ada dalam tempoh terdekat atau tidak, PRN Melaka tetap akan berlaku,” katanya pada sidang media ketika ditemui selepas Mesyuarat MKT Umno.
Selain itu, Ahmad juga berkata MKT Umno menyokong keputusan kerajaan baru-baru ini berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas siasatan kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib; semakan semula berkenaan kes Pulau Batu Puteh; dan siasatan mengenai dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tommy Thomas.