
“Kecuali terdapat tinggalan yang besar dan/atau bukti kukuh menunjukkan unsur berat sebelah yang jelas, ‘inkues’ susulan kedua dan dapatannya boleh menyebabkan kredibiliti semakin merosot,” kata SN Nair.
Katanya, ia juga akan melemahkan dapatan ahli patologi asal dan jabatan berkaitan.
“Ia menetapkan duluan yang buruk bagi inkuiri pada masa hadapan apabila tuntutan serupa boleh dibuat oleh pihak yang tidak berpuas hati tanpa penghujung,” katanya.

Nair berkata, setelah berlalunya waktu, sekanan mana pun seorang ahli patologi, kebarangkalian dapatan awal diubah sangat rendah, kecuali ia mungkin pendapat peribadi yang bertentangan dengan pendapat asal untuk “memuaskan hati”.
Beliau berkata demikian sebagai tindak balas kepada laporan bahawa sebuah jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kematian Adib telah memutuskan untuk melantik seorang ahli patologi kanan untuk membantu siasatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ahli patologi berkenaan akan menjalankan siasatan menyeluruh untuk meneliti keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Koroner, polis serta aspek lain berkaitan kematian Adib.
Ahli-ahli lain dalam jawatankuasa berkenaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Sabtu, termasuk Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican; Peguam Negara Idrus Harun dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Nair berkata, jawatankuasa itu adalah “pertindihan” dan pelaksanaan kuasanya adalah “seperti merampas dan melemahkan kuasa mutlak Peguam Negara dalam kapasitinya sebagai pendakwa raya”.
Katanya, Idrus harus mendedahkan hasil siasatan polis yang dilakukan setelah koroner Rofiah Mohamad memutuskan pada September 2019 bahawa kematian Adib berpunca daripada perbuatan “dua atau lebih individu yang tidak dikenal pasti”.
Anggota bomba berusia 24 tahun itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas cedera ketika bertugas di lokasi kejadian rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, pada November 2018.
Rofiah menerima teori yang dikemukakan perunding kanan patologi forensik, Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa Adib meninggal dunia akibat kecederaan yang disebabkan trauma tumpul selepas diseret keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Mahkamah juga menolak pengiraan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi, dalam menentukan kekuatan impak yang menyebabkan kecederaan dialami Adib.