Mahkamah benar Rosmah dapat semula pasport ke Singapura

Mahkamah benar Rosmah dapat semula pasport ke Singapura

Rosmah Mansor, yang berdepan tuduhan rasuah, sebelum ini memohon pasportnya dikembalikan agar beliau dapat menemani anaknya bersalin di Singapura.

Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak kini menghadapi perbicaraan atas tuduhan rasuah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Rosmah Mansor agar pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Singapura untuk menemani anaknya bersalin.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan mengeluarkan perintah itu setelah mendengar hujah peguam Rosmah. Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Zaini berkata, pasport akan dikembalikan kepada Rosmah hari ini supaya beliau dapat pergi ke Singapura mulai 22 Okt. Beliau mesti pulang sebelum 21 Nov dan mengembalikan pasport ke mahkamah pada atau sebelum 6 Dis.

“Ini dengan syarat pemohon dapat meninggalkan negara dan pergi ke Singapura dalam tempoh ini,” katanya.

Isteri Najib Razak itu berdepan tuduhan rasuah berkaitan projek panel solar bagi sekolah-sekolah di Sarawak. Perbicaraannya akan diteruskan pada 8 Dis.

Dalam permohonan difailkan pada Selasa, Rosmah berkata, beliau mahu menemani anaknya, Nooryana Najwa yang bakal melahirkan anak kedua di Singapura tidak lama lagi.

Beliau merancang perjalanan dari hujung Oktober hingga awal Disember, katanya, dan mengharapkan kerjasama polis serta Jabatan Imigresen.

Menurut Rosmah, Nooryana yang menetap bersama suaminya, rakyat Kazakhstan Daniyar Kessikbayev, di Singapura mempunyai sejarah mengalami komplikasi ketika bersalin.

Beliau mahu menemani anaknya untuk memberikan sokongan mental dan emosi, katanya.

Pasport Rosmah diserahkan sebagai syarat jaminan selepas beliau didakwa di mahkamah pada 2019.

Beliau dituduh meminta suapan RM187.5 juta daripada kontraktor Saidi Abang Samsudin serta menerima RM6.5 juta daripadanya, bagi memastikan syarikat Saidi, Jepak Holdings Sdn Bhd, mendapat projek panel solar bernilai RM1.25 bilion itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.