KL, Putrajaya, Selangor, Melaka beralih Fasa 4 mulai Isnin, kata PM

KL, Putrajaya, Selangor, Melaka beralih Fasa 4 mulai Isnin, kata PM

Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pula akan beralih daripada Fasa Dua kepada Fasa Tiga berkuat kuasa tarikh sama.

Kuala Lumpur akan beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara Isnin ini.
PETALING JAYA:
Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Melaka akan beralih daripada Fasa 3 ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam kenyataan Ismail berkata, Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Sabah dan Kedah pula akan beralih daripada Fasa 2 ke Fasa 3 berkuat kuasa tarikh sama dan secara keseluruhannya, Malaysia kini beralih ke Fasa 3 PPN.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikannya hari ini.

“Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan PPN dan peratusan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa,” katanya.

Dalam pada itu Ismail berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk memberikan kelonggaran dalam beberapa SOP.

Katanya, antara ketetapan lain yang turut diputuskan hari ini ialah:

  • Operasi Rehat dan Rawat (R&R) di semua lebuh raya dalam negara dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok
  • Kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua Fasa PPN bermula esok
  • Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuatkuasa pada Isnin, 18 Okt 2021 iaitu tempoh kuarantin 7 hari di rumah (jika sesuai) atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap, manakala tempoh kuarantin 10 hari di stesen kuarantin bagi pengembara tiada atau tidak lengkap vaksin.
  • Pengurangan Tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi kontak rapat juga berkuatkuasa pada Isnin, 18 Okt 2021 iaitu tempoh kuarantin 7 hari di rumah bagi mereka yang lengkap divaksin, manakala tempoh kuarantin 10 hari di rumah bagi mereka yang tiada atau tidak lengkap divaksin.
  • Pembukaan Perkhidmatan Pusat Siber dan Kafe Siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti seperti berikut berkuatkuasa 17 Okt 2021 iaitu 80% kapasiti bagi Fasa 3 dan; 100% kapasiti bagi Fasa 4. 3

Ismail berkata, selain itu SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang telah dibentangkan di Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 Sept 2021 diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula 11 Okt 2021.

Katanya, sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara.

“Kebenaran ini berkuatkuasa 18 Okt 2021,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut membenarkan Industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) dibenarkan di negeri negeri PPN Fasa 3 secara bersemuka, melibatkan individu yang telah lengkap divaksin berkuatkuasa 18 Okt 2021 dengan syarat-syarat seperti berikut; iaitu melaksanakan ujian saringan Covid-19 (pre-event test) melalui kaedah saliva test atau RTK-Antigen, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kapasiti 50% mengikut ruang.

“Mesyuarat bersetuju untuk melaksanakan program rintis protokol test and release (T&R) dengan syarat perjalanan atau itinery yang ketat dan terhad bagi lawatan rasmi kepada kumpulan pengembara yang dikenalpasti iaitu, pembesar negara, menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri, Exco Kerajaan negeri, Ahli Parlimen dan egawai-pegawai Kerajaan Pelaksanaan program rintis ini akan berkuatkuasa 18 Okt 2021 dan akan diperluaskan kepada pengembara perniagaan dalam waktu terdekat.

“Antara syarat-syarat yang dikenakan adalah; mngemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan bersama dokumen sokongan kepada MKN dan KKM bagi tujuan kelulusan, menjalani ujian PCR 3 hari sebelum berlepas pulang ke Malaysia, menjalani ujian PCR setibanya di mana-mana pintu masuk negara,” katanya.

Katanya, syarat-syarat itu terhad kepada pengembara yang tiba dari negara yang berisiko rendah sahaja dan ia juga terpakai kepada individu-individu yang lengkap divaksin.

“Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.