
Ahli Parlimen Klang Charles Santiago dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran Leong Tuck Chee daripada DAP, merayu supaya syarikat terbabit, Melati Ehsan Holdings Bhd tidak berbuat demikian.
Dalam satu sidang media secara maya hari ini, Santiago berkata, penduduk di Klang itu adalah penghuni asal yang berhak tinggal di tanah terbabit, bukannya penduduk setinggan seperti didakwa oleh Melati Ehsan, yang memfailkan saman untuk mengusir mereka.
“Notis pengusiran dua minggu dikeluarkan oleh Melati Ehsan pada September tahun lalu ketika pandemik memuncak disifatkan sebagai kejam kerana mereka adalah penduduk miskin.
“Terdapat 200 keluarga yang masih tinggal di kampung ini,” katanya.
Leong berkata, syarikat terbabit tidak seharusnya membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah itu memandangkan kerajaan Selangor masih lagi berunding untuk mencapai persetujuan bersama menjelang bulan depan.
John Fam, salah seorang peguam yang mewakili penduduk berkata, Melati Ehsan melabelkan mereka sebagai penduduk setinggan sekali gus berhak diusir.
Katanya, tindakan itu salah kerana penduduk terbabit adalah penghuni asal yang berhak tinggal di tanah terbabit kerana telah lama menetap di situ sejak dua hingga tiga generasi lalu.
“Permohonan itu (yang difailkan oleh Melati Ehsan) adalah ringkasan permohonan bawah Perintah 89 Peraturan Mahkamah yang menyatakan sekiranya penduduk kampung adalah penduduk setinggan di tanah anda, maka anda boleh membuat permohonan untuk mengusir mereka,” katanya.
Fam berkata, salah seorang daripada tiga Menteri Besar yang terlibat dalam kes berusia lebih 20 tahun itu, iaitu Abu Hassan Omar mengiktiraf hak penduduk asal itu dan pernah menyebut bahawa mereka boleh tinggal di situ selama mana yang boleh dengan kemudahan asas disediakan oleh Majlis Perbandaran Klang serta diberi lesen menduduki sementara (TOL).
Melati Ehsan mahu membina projek perumahan di tapak itu dan tanah kampung terbabit dijual oleh TPPT Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Bank Negara, kepada Melati Ehsan dengan harga RM32 juta pada 2007.
Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Faizah Jamaludin yang membuat keputusan itu semalam berkata, beliau yakin penduduk itu bukan penghuni setinggan dan mempunyai kepentingan ke atas tanah itu, menurut Freda Santhiago, salah seorang peguam mewakili penduduk.
FMT telah menghubungi Melati Ehsan untuk mendapatkan ulasan.