Industri pembinaan puji pindaan Akta CIDB

Industri pembinaan puji pindaan Akta CIDB

Perubahan undang-undang akan tingkatkan aspek keselamatan di tapak pembinaan termasuk keselamatan perancah.

PETALING JAYA:
Industri pembinaan gembira dengan pindaan Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang akan meningkatkan standard keselamatan sektor berkenaan.

Diwartakan pada 10 Sept dan dikuat kuasakan 13 Sept lalu, Perintah CIDB (Pindaan Jadual Keempat 2021) telah mengemas kini senarai produk dan bahan binaan yang terdapat dalam jadual untuk memastikan ia sesuai dengan standard terkini.

Produk tersebut merangkumi perancah binaan dan pindaan itu akan memastikan setiap sistem perancah yang digunakan untuk akses pengguna atau menyokong acuan konkrit diuji dan diperakui dengan betul.

Setiap komponen akan ditanda dengan perincian itu dan diperiksa ketika tiba di tapak projek, diuji lebih lanjut serta diperiksa setiap tahun.

Setiausaha Agung Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) Ahmed Zaharani Yusof Omar berkata, selain meningkatkan aspek keselamatan di tapak pembinaan, perancah akan lebih mudah dipasang, dibuka dan disimpan.

“Pemain industri akan menerima rungutan, bagaimanapun dengan latihan dan penyesuaian yang betul, ia adalah cara untuk kita terus maju,” katanya kepada FMT.

“Apabila orang melihat manfaat kaedah baharu untuk melakukan sesuatu pada masa akan datang seperti sistem bangunan perindustrian (IBS), mereka akan cenderung mengikutinya, terutama bila mereka tahu mereka dapat menjimatkan kos dan meningkatkan margin keuntungan.”

Pindaan itu dijangka memberikan manfaat kepada syarikat seperti Dscaff Industrial Services, pemain industri terkemuka yang mengeksport sistem perancahnya ke Australia, Afrika Selatan, Indonesia dan Ghana.

Pengarah Dscaff N Sunderaj menjelaskan bahawa kualiti dan daya galas beban perancah bingkai yang biasa dilihat di tapak pembinaan komersial berbeza-beza kerana perbezaan tahap dan ketebalan keluli yang digunakan untuk membuatnya.

Beliau berkata, jurutera tidak dapat menentukan keupayaan bekerja yang selamat yang menyumbang kepada “jumlah besar” kemalangan dicatatkan sejak sekian lama.

Sunderaj berkata, Dscaff menghasilkan perancah untuk sektor perniagaan petroleum dan perindustrian dan pindaan itu akan memberikan mereka peluang untuk turut sama menceburi sektor bangunan komersial.

“Terdapat banyak jenis sistem perancah dan apabila dirancang, dibuat, diuji dan dikendalikan dengan betul, ia akan memberikan perkhidmatan yang baik selama bertahun-tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.