Anak perkahwinan campur akan diiktiraf Bumiputera jika pinda Perlembagaan, kata menteri

Anak perkahwinan campur akan diiktiraf Bumiputera jika pinda Perlembagaan, kata menteri

Dianggarkan 35% orang Sarawak berkahwin dengan orang bukan Bumiputera, dengan ribuan permohonan status Bumiputera yang masih menunggu keputusan.

Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jika pindaan Perlembagaan diluluskan, kerajaan negeri boleh menentukan siapa yang layak diklasifikasikan sebagai Pribumi di Sarawak.
PETALING JAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, status anak hasil perkahwinan campur antara Bumiputera Sarawak dan bukan Bumiputera akan diiktiraf sebagai Bumiputera, jika pindaan definisi “Pribumi” dalam Perlembagaan Persekutuan diluluskan.

“Kalau kita lihat Perlembagaan sekarang, jumlah senarai diklasifikasikan sebagai Pribumi hanya 23 kumpulan etnik sahaja. Tetapi, sekarang kita tahu jumlah itu bertambah, contoh kaum Selako di Lundu, mereka tiada dalam senarai Pribumi, maknanya mereka bukan Bumiputera.

“Sebab itu kita mahu pinda Perlembagaan supaya senarai klasifikasi Pribumi ini diserahkan kepada negeri dan kerajaan negeri dapat menyenaraikan siapa yang layak dipanggil Pribumi di Sarawak,” katanya menurut laporan Utusan Borneo.

Wan Junaidi berkata, dianggarkan 35% orang Sarawak berkahwin dengan orang bukan sama Pribumi, dengan ribuan permohonan status Bumiputera masih menunggu keputusan.

Jika definisi Pribumi dihapuskan daripada Perlembagaan dan diletakkan di bawah undang-undang negeri, katanya, ia menjadi lebih mudah sekiranya ada tambahan kumpulan Pribumi dijumpai.

“Kalau kita hendak rujuk Perlembagaan Persekutuan, ia adalah susah untuk pindaan dilakukan, jadi lebih baik diletakkan di bawah undang-undang negeri dan diterima Majlis Adat Bumiputera.”

Beliau berharap pindaan itu mendapat sokongan semua pihak demi kepentingan rakyat Sarawak.

Mengenai pindaan Perlembagaan bagi mengembalikan hak Sarawak dan Sabah yang terhapus di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), katanya, ia akan dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 25 Okt ini, diikuti bacaan kali kedua pada 28 Okt dan dibahaskan.

Cadangan itu akan diluluskan, jika mendapat sokongan 2/3 daripada 220 Ahli Parlimen.

“Saya sudah buat perjumpaan dengan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional, juga dengan Warisan dan Pakatan Harapan (PH) secara berasingan berhubung pindaan ini.

“Semua sokong setakat yang saya berjumpa, maknanya ada sinar di hujung untuk pindaan Perlembagaan ini. Yang penting sebagaimana dikatakan Ketua Menteri Sarawak, Abang Johari Openg, pindaan ini akan mengembalikan susunan sebagaimana yang berlaku pada 1963 dahulu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.